Home Politik Ismail Sabri enggan tarik balik kenyataan jihad UMNO, Pas

Ismail Sabri enggan tarik balik kenyataan jihad UMNO, Pas

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertegas tidak akan menarik kenyataannya yang mengaitkan perjuangan UMNO dan Pas untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan sebagai jihad.

Beliau nekad tidak mahu berbuat demikian walaupun diberikan tempoh 24 jam oleh Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng sebelum dikenakan tindakan undang-undang akibat mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan.

Jelas beliau, jihad seperti yang dikatakannya tidak menjurus kepada peperangan semata-mata, sebaliknya boleh dianggap sebagai perjuangan untuk menegakkan kebaikan.

“Sudah tentu tidak (tidak akan menarik balik kenyataan).

“Jihad ekonomi, jihad menjaga Bumilputera juga bukan perang.

“Jihad itu bermaksud susah payah (struggle) untuk perkara yang baik, menentang diri sendiri pun boleh dianggap jihad untuk perjuangan menentang diri sendiri.

“Jihad tidak ada kaitan dengan perang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Bukan perjuangan UMNO dan Pas sebaliknya tegas beliau, tindakan menyalah tafsirkan Islam oleh pihak tertentu yang menakut-nakutkan penganut agama lain.

“Sebenarnya yang menakutkan orang bukan Islam adalah apabila kesilapan mereka tafsirkan Islam itu sendiri.

“Takut-takutkan orang Islam bila katakan Islam dikaitkan dengan Taliban. Takutkan bukan Islam bila kaitkan jihad dengan peperangan terhadap orang lain. Jadi yang takut takutkan mereka bukan orang kita (UMNO) dan orang Pas,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau menegaskan, rakyat sepatutnya perlu diberikan hak bersuara seperti mana yang pernah diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) sebelum menjadi kerajaan sebelum ini.

“Kalau nak sekat bercakap maknanya kerajaan hari ini lebih teruk daripada yang lepas dari segi kebebasan bersuara,” ujarnya. -MalaysiaGazette