KUALA LUMPUR – Banyak negara menghadapi perubahan kerajaan, namun kerajaan Pakatan Harapan tidak sepatutnya menyalahkan kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN), secara konsisten setelah 10 bulan ia memerintah negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang sepatutnya dilakukan kerajaan pada hari ini adalah membuktikan kebolehan melakukan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Bagi saya risiko yang patut diambil oleh mana-mana kerajaan di dunia ini apabila mengambil alih kerajaan lama maknanya pengambilan itu berdasarkan kepada apa sahaja penyambungan segala apa yang dilakukan daripada segi komitmen.
“Blame game tidak harus berlaku. Lakukan yang terbaik, malah lebih baik kalau kononnya kerajaan lalu lakukan banyak kesalahan dan kesilapan. Lakukan lebih baik.
“Jangan salahkan beban hampir setahun ini kepda kerajaan lama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.
Mengatakan bahawa kemahiran komunikasi menteri Pakatan Harapan perlu ditambah baik, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) Tun Daim Zainuddin disifatlan Zahid sebagai orang yang berpengalaman untuk membuat perbandingan.
“Tun Daim mengetahui prestasi setiap menteri dan kementerian sebab Tun Daim dalam kabinet begitu lama.
“Beliau dapat buat perbandingan. Tapi cadangan itu serah pada beliau sama ada tambah baik itu dapat dibuat tapi bukan hanya Tun Daim tapi juga rakyat melihat secara keseluruhan,” tambahnya. – MalaysiaGazette