Home Politik Pengundi Rantau tak kisah mengenai 1MDB

Pengundi Rantau tak kisah mengenai 1MDB

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika hadir pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di BN Command Centre, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2019

RANTAU – Lebih 20,000 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau lebih risau dengan fenomena penurunan harga komoditi berbanding isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH).

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada penduduk sekitar yang dihimpit tekanan ekonomi yang gagal diselesaikan oleh PH.

“Orang Rantau tak kisah pasal 1MDB. Tahu (1MDB) pun tidak, apa tu bawang ke kentang?

“Yang dia orang kisah susah nak beli barang sekarang duit tak ada. Harga getah kelapa sawit merudum. Nak beli apa? BRIM yang ditunggu-tunggu dipotong, banyak bantuan JKM dihentikan,” katanya di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN, sebentar tadi.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai tindakan PH yang sering kali menggunakan isu 1MDB dengan mengaitkan BN.

Najib kempen di Sendayan

Dalam pada itu, Mohamad berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib akan turun ke Rantau bagi membantu beliau berkempen.

Menurutnya, Najib akan bertemu pengundi di Sendayan yang pada suatu masa dulu sinonim dengan beliau.

“Dia akan datang sama ada hari Khamis atau Jumaat dan saya juga jemput beliau datang ke Sendayan kerana pembangunan kawasan itu hasil buah tangan beliau menolong kerajaan negeri (ketika zaman BN) dengan memindahkan Pengkalan Tentera Udara ke Sedayan maka kita dapat jual tanah di Sendayan 750 ekar,” katanya.

Jelas Mohamad, sebagai calon beliau tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk membantu kempennya di PRK Rantau.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, hasil daripada penjualan tanah di Sendayan itu dapat membantu kerajaan negeri membayar hutang negeri.

“Dengan penjualan tanah tersebut 750 ekar dapat kita buat membayar pinjaman-pinjaman negeri, buat modal untuk MBI dan kerajaan negeri membayar hutang-hutang

“Beliau (Najib) banyak main peranan semada jadi perdana menteri untuk menjayakan Sendayan, pembangunan Sendayan tidak akan dapat dijalankan dan apa yang kita lihat sekarang dengan membantu membeli (tanah Sendayan) melalui 1MDB.

“1MDB ambil pengkalan TUDM (Sungai Besi buat bandar Malaysia) tapi syarat sebab Kementerian Pertahanan ketat, sebelum ambil alih pihak (1MDB) kena bina pengkalan baru dulu, jadi kena bina di Sendayan, kena naik taraf pengkalan-pengkalan tentara. Jadi disitulah telah siap pengkalan Tentera Sendayan baru pengkalan Sungai Besi boleh diambilalih,” katanya.

Untuk rekod 1MDB membeli tanah di Sendayan milik kerajaan Negeri Sembilan sebagai ganti pengkalan baru TUDM Sungai Besi yang akan dibangunkan sebagai Bandar Malaysia. -MalaysiaGazette