Home Politik Siapa tahu sebanyak mana harta Tok Mat? – Soal Saifuddin

Siapa tahu sebanyak mana harta Tok Mat? – Soal Saifuddin

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama calon PH, Dr. S. Streram pada Ceramah Umum PH sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 01 APRIL 2019

PRK RANTAU – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kerajaan kepimpinan Pakatan Harapan termasuk di Negeri sembilan mengamalkan pentadbiran berkebajikan rakyat tanpa berkompromi dengan pemimpin amalan berasuah.

Menurutnya, orang selalu membandingkan menteri besar dahulu iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai seorang korporat yang sekarang menjadi pemangku Presiden UMNO, berbeza dengan Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Siapa tahu harta Mat Hasan sebanyak mana? Dr Streram pun sudah isytihar harta. paling mudah nak rakyat pilih kita ialah tunjukkan harta.

“MB kita sudah isytiharkan harta sebelum PRU menerusi surat akuan bersumpah melalui INVOKE dan sampai hari ini maklumat harta Aminuddin dalam dokumen undang-undang kita boleh kita baca menerusi laman web.

“Dr Streram pun sudah isytiharkan harta. Kalau ada peningkatan aset menerusi cara sah di sisi undang-undang bukan bercanggah dengan undang-undang,” katanya berucap di hadapan lebih 250 hadirin dalam ceramah umum PH sempena kempen PRK Rantau bersama Streram di Bilik Gerakan Utama PH , Taman Reka, Rantau di sini.

Menurut Saifuddin, kerajaan baharu di bawah PH sentiasa mempunyai prinsip ketelusan dalam menjamin pentadbiran rakyat yang bersih.

“Kalau ada perbuatan itu (kenaikan nilai aset secara tidak sah disisi undang undang), pihak berkuasa sila bertindak dan kami takkan pertahankan pemimpin seperti itu, itu cara PH.

“Mereka (UMNO) kalau rasuah macam mana pun dalam kalangan pemimpin-pemimpin mereka juga akan pertahankan, itu perbezaan pertama,” tegasnya.

Katanya, mulai esok jentera PH PRK akan menyebarkan risalah yang menceritakan kejayaan di bawah MB Negeri Sembilan melibatkan pelaburan dan kebajikan rakyat yang jumlahnya mengatasi nilai pelaburan yang direkodkan di bawah pemerintahan sebelum ini.

“Kita sudah ada rekod dan sudah dicetak, maka esok jentera kita akan edarkan rumah ke rumah,” katanya. – MalaysiaGazette