KUALA LUMPUR- AirAsia akan menambah 437 penerbangan sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri antara 30 Mei dan 16 Jun ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat, penerbangan tambahan tersebut melibatkan laluan Kuala Lumpur ke Singapura, Kuching, Sibu, Miri, Sandakan, Tawau, Alor Setar, Kota Bharu, Langkawi, Terengganu, Johor Bahru serta dari Johor Bahru ke Kuching, Miri, Sibu, Tawau dan Alor Setar.
“Sebagai sebuah syarikat penerbangan untuk semua, kami berbesar hati untuk menyatukan keluarga dan sahabat handai di musim perayaan ini.
“Untuk menampung permintaan yang dijangka akan meningkat sempena musim ini, kami berbesar hati untuk menambah penerbangan dengan menawarkan sebanyak 78,000 kerusi tambahan untuk membantu masyarakat pulang beraya.
“Kami akan berusaha menambah lebih banyak lagi penerbangan pada masa akan datang. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa atas sokongan mereka dalam meluluskan penerbangan tambahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Riad, penerbangan tambahan itu sudah boleh ditempah sekarang di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia.- MalaysiaGazette