SEREMBAN – Pengundi-pengundi Rantau akan tetap menikmati pembangunan yang dirancang seandainya calon Pakatan Harapan (PH) kalah dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri itu.
Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya calon PH, Dr S Streram memenangi PRK Rantau, ia akan memudahkan lagi ‘kerja’ untuk membawa pembangunan ke Rantau.
Rantau terletak bersempadan dengan Port Dickson.
“Kalau beliau (Dr Streram) menang, saya ada orang yang boleh saya diharapkan secara langsung. Ia akan menjadi satu kelebihan. Saya pernah katakan ia akan membawa pembangunan kepada sebahagian Melaka dan juga Rantau.
“Namun begitu, kalau Dr Streram kalah, pembangunan di Rantau juga akan diteruskan. Ia bukan satu prasyarat utama,” katanya kepada media selepas berceramah di Taman Sri Ramai, Rantau, malam ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau mempunyai perancangan untuk membawa masuk pelabur luar untuk memajukan kawasan Parlimennya yang juga menjadi antara destinasi pelancongan utama negara.
Justeru, beliau amat mengharapkan pengundi di DUN Rantau memberi kemenangan kepada Dr Streram supaya usahanya membawa pembangunan ke Rantau yang bersebelahan dengan Port Dickson menjadi lebih mudah.
Katanya, PKR meletakkan keyakinan dan kepercayaan yang tinggi kepada Dr Streram untuk menjadi calon yang akan memenangkan gabungan itu memandangkan beliau telah lama bekerja keras sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi.
“Selepas PRU-14, memang dia turun padang. Saya memang minta laporan mingguan dari[pada beliau. Mungkin tidak dapat sampai kepada semua orang di sini untuk bandingkan dengan Datuk Seri Mohamad Hasan yang sudah 15 tahun di sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette