KUALA LUMPUR – Saham di Bursa Malaysia dibuka sederhana tinggi dengan belian untuk beberapa saham wajaran tinggi dan saham yang bernilai kurang daripada satu dolar.
Pada 9 pagi, indeks menambah 5.24 mata kepada 1,638.07 daripada 1,632.83 semasa ditutup pada Selasa.
Ia dibuka tinggi 5.44 mata kepada 1,638.27.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 99 berbanding 48, manakala 153 kaunter kekal tidak berubah, 1,556 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 42.88 juta saham bernilai RM18.70 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata, seperti dijangka indeks utama mencatat kemajuan kecil semalam berikutan aktiviti belian semasa harga rendah membantu memberikan penangguhan kepada pasaran daripada penurunan baru-baru ini.
“Bagaimanapun, dengan peningkatan yang dilihat berikutan diukur sebahagian besarnya, FBM KLCI masih berada dalam aliran penurunan,” katanya dalam nota hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata dalam masa terdekat, ia menyaksikan peningkatan berikutan indeks utama membina asas pada paras semasa susulan tekanan jualan yang berkurangan.
Kekuatan belian secara keseluruhan, bagaimanapun, kekal lemah dan ini sekali lagi boleh mengganggu potensi kepada peningkatan.
Daripada saham wajaran tinggi di Bursa, Maybank dan IHH, masing-masing menambah satu sen kepada RM9.26 dan RM5.43, manakala Public Bank naik 14 sen kepada RM22.84 dan CIMB merosot tiga sen kepada RM5.09.
Daripada saham aktif, Priceworth tidak berubah pada enam sen, FGV meningkat empat sen kepada RM1.26, Sanbumi susut setengah sen kepada 36.5 sen dan My EG Services merosot dua sen kepada RM1.44.
Indeks FBM Emas naik 26.33 mata kepada 11,537.37, Indeks FBMT 100 menambah 23.62 mata kepada 11,380.21 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 21.48 mata kepada 11,700.34.
FBM 70 naik 19.24 mata kepada 14,273.99, bagaimanapun Indeks FBM Ace susut 4.11 mata kepada 4,833.00.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 29.88 mata kepada 16,851.52, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.22 mata kepada 168.83 dan Indeks Perladangan meningkat 10.24 mata kepada 7,192.28. – MalaysiaGazette