KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sepatutnya melaksanakan undang-undang yang adil dan saksama kepada semua.
“Tidak ada istilah ‘case by case”, ” kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu mengulas demikian selepas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Sabin Samitah tidak mampu memberi jawapan sama ada wang derma dari luar negara perlu dikenakan cukai atau tidak.
Reaksi Sabin itu selepas beliau ditanya sama ada LHDNM telah membuat tuntutan sebanyak RM1.5 bilion cukai tambahan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi pendapatan yang tidak diisytihar sebanyak RM4 bilion termasuk derma dari keluarga Arab Saudi berjumlah RM2.6 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM itu berkata, beliau tidak boleh membuat generalisasi (kenyataan umum) kerana ia perlu mengikut kes,
Namun tegas Najib, undang-undang mana-mana negara sepatutnya adil dan saksama untuk semua rakyat.
“Sepatutnya digunakan sama rata untuk semua orang. Tetapi LHDN di bawah Menteri Kewayangan tidak begitu,” kata Najib.
Beliau juga tidak faham bagaimana wang yang disebut RM2.6 bilion yang diterima pada bulan April 2013 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan dihantar balik kepada penyumbang tiga bulan kemudian pada tahun yang sama, boleh diambil kira sebagai hasil ataupun pendapatan dan boleh dikenakan cukai. – MalaysiaGazette