KUALA LUMPUR – Kertas putih Felda akan dibentangkan di Dewan Rakyat Rabu depan.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd. Radzi Md Jidin berkata, penangguhan pembentangan kertas putih itu sebelum ini adalah atas nasihat Jabatan Peguam Negara berikutan sebab-sebab perundangan.
“Perkara ini telah di bawa ke jemaah menteri yang kemudiannya membuat keputusan supaya pembentangan ini ditangguhkan ke sesi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2018 (2019) dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, anggota Dewan Rakyat akan terlibat dalam pembentangan kertas putih itu.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, isu elaun sara hidup dan inisiatif sedia ada yang akan dikekalkan, turut disentuh dalam kertas putih tersebut.
“Bagi elaun, antara isunya mengenai kelewatan dan jumlahnya. Mengenai kelewatan bayaran elaun, saya difahamkan ia dibayar pada masanya, namun untuk bulan ini, bayaran akan dibuat dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Beliau berkata, kementerian itu telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mendapatkan pandangan menyeluruh berhubung Felda.
Menjawab mengenai kerugian FGV, beliau berkata, ia disebabkan oleh harga komoditi yang rendah dan keperluan RM300 juta untuk aktiviti penanaman semula 15,000 hektar ladang.
FGV turut mengalami susut nilai dalam akaun belum diaudit kepada RM795.67 juta dan terbelenggu dengan pelaburan yang tidak produktif.
Ujarnya, bantuan khas sebanyak RM77 juta telah disalurkan Felda pada Disember 2018.
Pinjaman itu adalah langkah interim kerajaan membantu Felda bagi melunaskan bayaran-bayaran tertunggak pada 2018 dan memenuhi obligasi kepada peneroka, sehingga isu kewangan dapat diselesaikan. – MalaysiaGazette