Home Nasional Media tempatan, antarabangsa teruja buat liputan prosiding Najib

Media tempatan, antarabangsa teruja buat liputan prosiding Najib

Sekumpulan jurugambar dan juruvideo bersiap-sedia membuat liputan hari pertama perbicaraan kes membabitkan Najib Razak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Walaupun prosiding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd hanya akan bermula sekitar 2 petang ini namun pengamal media sudah mula berkampung di lobi mahkamah seawal 8 pagi tadi.

Setakat artikel ini ditulis sekitar 11.30 pagi, sudah lebih 100 pengamal media dari pelbagai agensi, tidak kira tempatan mahupun antarabangsa sudah berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah di Jalan Duta.

Perbicaraan yang di nanti-nantikan ini juga menjadi tumpuan seluruh dunia, membabitkan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berprofil tinggi.

Rata-rata mereka, khasnya jurugambar dan video dilihat begitu teruja dan bersiap sedia menantikan kehadiran Najib pada jam 1.30 nanti untuk merakamkan gambarnya.

 

WhatsApp Image 2019-04-03 at 11.58.14 (1)
Sebahagian wartawan yang sudah tiba di lobi Kompleks Mahkamah di Jalan Duta Kuala Lumpur.

Semalam Bernama melaporkan, sebanyak sebanyak 100 keping pas telah disediakan untuk pengamal media yang akan membuat liputan perbicaraan kes ini di Mahkamah Tinggi hari ini.

Sebanyak 30 keping pas berwarna merah jambu disediakan bagi wartawan tempatan dan antarabangsa yang mengikuti prosiding di dalam mahkamah terbuka.

Sementara 20 pas berwarna oren pula untuk prosiding di bilik tayangan video dan 50 pas berwarna biru akan diedarkan kepada jurufoto dan jurukamera yang ditempatkan di lobi Kompleks Mahkamah.

Ketika ini kaunter untuk pas tersebut belum lagi dibuka dan pasĀ  akan mula diedarkan sekitar jam 12.30 nanti.

Dalam pada itu, seramai tiga saksi awal terdiri daripada pegawai bank dan pegawai kerajaan dijangka memberikan keterangan pada hari ini sebentar lagi.

Difahamkan, mereka adalah antara 63 saksi yang disenaraikan pihak pendakwaan dalam perbicaraan bersabit tujuh tuduhan terhadap Najib berhubung dana RM42 juta milik syarikat SRC.

Pada hari pertama perbicaraan ini juga, Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pendakwaan akan membacakan pernyataan pembukaan sebelum Mahkamah Tinggi mula mendengar keterangan saksi. -MalaysiaGazette