Home Nasional Strategi tangani ancaman siber dilaksana pertengahan tahun ini

Strategi tangani ancaman siber dilaksana pertengahan tahun ini

Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengeluar dan melaksanakan Strategi Keselamatan Siber Negara pada pertengahan tahun ini dalam usaha menangani ancaman keselamatan siber secara komprehensif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah tersebut akan dilakukan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Menurutnya, strategi tersebut akan dilaksanakan melalui penggemblengan sumber tenaga dan pembangunan prasarana yang memfokuskan kepada pembentukan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Siber Kebangsaan bagi memastikan negara dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada.

“Ancaman keselamatan siber akan terus memberi cabaran kepada pengurusan keselamatan negara, apabila berlaku peningkatan kebergantungan kepada teknologi-teknologi baharu yang bermanfaat, tetapi pada masa yang sama mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan di persidangan Dewan Rakyat hari ini Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu berhubung usaha kerajaan membendung ancaman siber yang boleh menggugat kedaulatan negara.

Awal tahun lepas media melaporkan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menjelaskan, dasar dan strategi tersebut adalah bagi mengekang serangan siber dari dalam dan luar negara termasuk mengawal maklumat peribadi pengguna internet.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan memberitahu, kerajaan turut mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman dan serangan siber melalui pembangunan dan pelaksanaan Pelan Pengurusan Krisis Siber Negara (NCCMP).

Katanya, pelan itu dibangunkan berdasarkan kepada rangka kerja pengurusan risiko yang menggariskan strategi bagi mengurangkan kesan serangan siber dan tindakbalas yang perlu dilaksanakan agensi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) yang terdiri daripada pelbagai agensi awam dan swasta.

Tambah, antara yang sudah dilaksanakan termasuklah Latih Amal Krisis Siber Negara (X-Maya) yang bertujuan menguji keberkesanan prosedur dan membiasakan agensi CNII dengan mekanisme pengendalian insiden siber.

Ia, katanya, turut disertakan langkah bagi meningkatkan tahap keupayaan dan kesiapsiagaan agensi dalam menghadapi sebarang ancaman siber. – MalaysiaGazette