SEREMBAN – Ketika sibuk berkempen di Kampung Takau menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 13 April ini, Dr. S. Streram dikejutkan dengan berita kebakaran berhampiran Pasar Pekan Rantau pagi tadi.
Sejurus selepas mendengar mengenai kejadian jam 9.45 pagi, calon Pakatan Harapan (PH) itu bergegas ke lokasi dan ternampak jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rumah Rakyat Rantau berada di situ.
Beliau terkejut apabila mendapati tiang elektrik di hadapan lorong perumahan di hadapan pasar berasap dan mengeluarkan percikan api.
Namun, bomba dengan sembilan anggota telah memadamkan percikan itu yang berlaku berulang kali ketika orang ramai sibuk berurusan.
Dr. Streram yang dilanda kontroversi apabila berkata tiada balai bomba di Rantau sebelum ini bagaimanapun kagum dengan ketangkasan anggota pasukan penyelamat itu.
“Saya sangat gembira kerana sudah ada balai bomba dan jentera bomba untuk bertindak di Rantau sekarang, kalau tunggu bomba Seremban memang tak boleh buat apa apa jika berlaku malapetaka besar.
“Kita dengar ia mesti beroperasi, tak tahu tarikh. Tapi saya sangat gembira tak sampai 10 minit dah ada. Satu setengah kilometer dari Rumah Rakyat Linsum Rantau.
“Kalau saya tak bangkit isu ini mungkin tergendala sejak dulu, 25 Mac 2018 saya bangkit mereka sediakan balai yang disiapkan banguna Januari lalu dan kini sudah bertindak,” katanya sambil menambah Tenaga Nasional Berhad di Seremban telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Balai bomba Rantau dilengkapi dengan sebuah jentera bomba dan sebuah kenderaan pelbagai duna (MPV).
Dalam pada itu, Penyelia Bomba dan Penyelamat Rantau, K. Putthisiganany, 50, berkata, balai bomba berkenaan telah beroeprasi pada 18 Mac lalu walaupun secara rasmi dijangka dirasmikan pada bulan ini.
“Kami tiba sejurus terima panggilan, tak sampai seminit dah tiba ke lokasi dan mendapati ada percikan api dan berjaya dikawal.
“Kami dimaklumkan ia berasap malam tadi, tetapi pagi ini dah mengeluarkan api sebab elektrik belum diputuskan. Selagi itu ia akan mengeluarkan api,” katanya.
Kata Putthisiganany, bomba hanya mampu memadamkan api akibat litar pintas sehingga kabel elektrik pada tiang itu mengeluarkan asap dan api.
“Kami kena tunggu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan akan diserahkan kepada mereka untuk tindakan lanjut sebab semalam TNB datang selepas menerima aduan berasap di kabel elektrik tapi kami terima ada api di tiang ini dan bergegas dalam seminit sebelum memadam api pada kabel itu.
“Kami adalah Bomba Rantau dari Taman Rumah Rakyat Linsum terdiri daripada 31 anggota bomba dengan sebuah jentera memadam api dan sebuah lagi kenderaan RRB sudah memulakan tugas pada 18 Mac lalu.
“Yang selalu datang semasa kebakaran ialah Bomba dari Senawang mengambil masa 15 hingga 20 minit ini untuk ke Rantau sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette