ADDIS ABABA – Pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas bulan lalu telah beberapa kali meluncur ke bawah sebelum jatuh, menurut laporan awal siasatan nahas itu.
Juruterbang juga didakwa berkali-kali mengikut prosedur yang dicadangkan oleh Boeing sebelum pesawat terhempas.
“Meskipun mereka berusaha tetapi juruterbang tidak boleh mengawal pesawat berkenaan,” kata Menteri Pengangkuran, Dagmawit Moges yang membuat komen berdasarkan laporan awal, yang mana ia masih belum dikeluarkan.
Laporan siasatan nahas itu dijangka dikeluarkan akhir minggu ini.
Pesawat ET302 itu terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Addis Ababa.
Kesemua 157 penumpang maut.
Kemalangan itu adalah nahas kedua membabitkan Boeing 737 Max dalam lima bulan.
Oktober tahun lalu, pesawat Lion Air yang menggunakan model sama terhempas, mengorbankan 189 orang.
Nahas terbaharu itu menyebabkan semua keluarga Boeing 737 Max tidak dibenarkan terbang, menjejaskan lebih 300 pesawat.
Namun, laporan itu tidak memperincikan masalah pesawat berkenaan.
Tetapi ia mencadangkan supaya Boeing mengkaji semula sistem kawalan pesawat dan berkata pihak berkuasa penerbangan harus mengesahkan masalah itu telah diselesaikan sebelum membenarkan 737 Max kembali ke udara.
Dalam satu kenyataan, ketua eksekutif Syarikat Penerbangan Ethiopia, Tewolde GebreMariam berkata, beliau sangat berbangga dengan prestasi tinggi juruterbang pesawat terbabit.
“Sayangnya mereka gagal,” ujar beliau. – MalaysiaGazette