SEREMBAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan nada berseloroh dan sinis meminta supaya lokap yang pernah dihuni beliau di Penjara Sungai Buloh dibersihkan.
Kata Presiden PKR, ini kerana terdapat kemungkinan ia akan menerima penghuni baharu tidak lama lagi.
Ahli Parlimen itu bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu yang dimaksudkannya itu dan menambah keputusan akan dibuat mahkamah dan bukannya beliau.
“Bulan lalu saya panggil ‘guard’ warden penjara Sungai Buloh dan bagi mereka makan kerana saya kenang jasa mereka, jasa buka pintu, kunci pintu saya, jasa kawad.
“Lepas itu saya pun tanya adakah lokap saya masih kosong? dia jawab ya Datuk Seri belum ada orang yang masuk.
“Saya minta tolong bersihkan..sebab apa? Sebab mungkin ada penghuni baharu…saya tak boleh buat keputusan itu, hanya mahkamah boleh buat keputusan itu,” kata dalam amanat sambutan dua dekad merakyatkan Reformasi di Dataran Rantau malam tadi.
Anwar berucap di hadapan lebih 1,500 orang tempatan yang turut dihadiri calon PH Rantau, Dr. S. Streram; Timbalan Presiden PKR, Datuk Sri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Tambahnya, Malaysia merupakan negara demokrasi dan rakyat harus menerima keputusan yang berlandaskan hukum dan fakta.
“Kesal masih ada orang nak berjumpa dengan dia (Datuk Seri Najib Razak), ambil duit puluhan bilion (ringgit), rugikan Felda puluhan bilion (ringgit) dan Tabung Haji puluhan bilion (ringgit).
“Ini menunjukkan semangat reformasi dalam kalangan hati rakyat belum disemai sepenuhnya.
“Ia cabaran baharu yang harus ditempuh pihaknya untuk menyedarkan rakyat yang pernah jadi mangsa penipuan dengan menjelaskan fakta dalam kempen PRK.
Menurut Anwar, ini tidak bermakna pihaknya marah kepada rakyat dan apa yang perlu dilakukan ialah memberi penjelasan supaya mereka tidak menyokong mereka yang merompak kekayaan negara. – MalaysiaGazette