Home Ekonomi Empat negara setuju luaskan rangka kerja penyelesaian mata wang

Empat negara setuju luaskan rangka kerja penyelesaian mata wang

Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR- Bank pusat Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina telah bersetuju untuk meluaskan rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan di dalam rantau ini.

Ia bagi meningkatkan perdagangan dengan mengurangkan kos transaksi dan menambahbaik keberkesanan penyelesaian perdagangan.

Dalam satu kenyataan bersama, keempat-empat bank pusat itu mengumumkan Bank Indonesia dan Bank of Thailand telah bersetuju untuk mula meneroka kemungkinan-kemungkinan meluaskan rangka kerja sedia ada itu.

Dalam pada itu, Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas, Benjamin E Diokno telah menandatangani tiga pucuk surat hasrat (LOI) dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus, Gabenor Bank Indonesia, Perry Warijiyo dan Gabenor Bank of Thailand, Veerathai Santiprabhob.

“Ketiga-tiga surat tersebut mempamerkan minat bersama untuk mewujudkan Rangka Kerja Penyelesaian Matawang Tempatan di antara empat negara.

“Pelaksanaan rangka kerja tersebut dijangka dapat meningkatkan aktiviti ekonomi dan kewangan di antara Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand dengan lebih berkesan,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, persekitaran yang kondusif untuk perdagangan akan memberi manfaat kepada perniagaan melalui pengurangkan kos transaksi dan meningkatkan keberkesanan pembayaran perdagangan.

Ia juga akan menyediakan lebih banyak opsyen kepada perniagaan untuk memilih matawang-matawang semasa membuat pembayaran.

Ini sekaligus mengurangkan risiko tukaran asing mereka terutamanya ketika ketidaktentuan ekonomi sekarang.

“Rangka kerja ini juga akan membuka jalan yang luas untuk penggunaan matawang tempatan dalam Komuiti Ekonomi Asean dan menyuburkan lagi pembangunan pasaran tukaran asing dan kewangan serantau.

“Ia juga menyokong integrasi ekonomi dan kewangan dengan lebih meluas,” ujarnya.-MalaysiaGazette