PRK RANTAU – Calon Pakatan Harapan (PH) PRK DUN Rantau menyerahkan kepada pihak berkuasa polis untuk menyiasat pemberian kupon makanan oleh seorang wakil rakyat dari Sarawak di sekolah yang didakwa sebagai satu kesalahan Pilihan Raya baru-baru ini.
Dr. S. Streram mahu membiarkan polis menyiasat perkara itu dan beliau akan melihat hasil perkembangannya.
Beliau mengulas tindakan calon bebas PRK Rantau, R. Malar yang membuat laporan polis semalam mendesak polis menyiasat insiden itu.
“Itu hak dia (Malar) melakukan apa sahaja yang dirasakan bernas untuk dirinya..biar dia laporkan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya semasa kempen bertemu pengundi di Jalan Besar Pekan Rantau dekat Seremban hari ini.
Malar membuat laporan polis terhadap kes pemberian kupon makanan kepada murid skeolah di Balai Polis Rantau semalam.
Calon bebas itu juga mendesak supaya sekolah itu memulangkan semula kupon-kupon makanan yang diterima pelajar mereka.
Selain Malar Bersih 2.0 turut mengeluarkan kenyataan megenai insiden itu sambil menyifatkannya sebagai perlanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Mereka berdua berhak mengutarakan pendapat dan teguran mereka.. saya serahkan hal ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan tampil dengan tindakan sewajarnya jika dirasakan perlu,” tegas pakar bius itu lagi. – MalaysiaGazette