Home Nasional Putar-belit Statut Rom usaha terburuk jatuhkan Tun M, kata Maszlee

Putar-belit Statut Rom usaha terburuk jatuhkan Tun M, kata Maszlee

Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyifatkan pihak yang didakwa menjadikan isu Statut Rom sebagai alat untuk menjatuhkan kerajaan dan perdana menteri sebagai pengecut yang tidak boleh dipercayai.

Dalam hantaran terbaharu di laman Facebooknya, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, tindakan pihak yang berkenaan menggunakan isu tersebut juga merupakan usaha terburuk untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang disayangi.

“Bukan mudah untuk kita berada di mana kita berada hari,” katanya mengulas keputusan kerajaan hari ini untuk menarik diri dari ratifikasi Statut Rom berikutan kekeliruan yang didakwa diwujudkan pihak tertentu yang turut menggunakan raja-raja untuk menjatuhkan kerajaan dan perdana menteri.

Dr Mahathir dalam sidang media hari ini kesal kerana usaha kerajaan itu telah diputar-belit sehingga menimbulkan kebimbangan yang tidak berasas malah paling dikesali apabila ada gerakan untuk menjatuhkan beliau menggunakan istana.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, beliau tidak dapat membayangkan bagaimana semua reformasi dan perubahan yang sedang dijalankan, diganggu-gugat oleh tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab dengan cara yang tidak demokratik.

“Pihak seperti ini adalah pengecut yang tidak boleh dipercayai. Mereka menggunakan isu Statut Rom sebagai satu usaha terburuk untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang kita sayangi.

“Permainan politik mereka begitu teruk dan cuba mengelirukan rakyat dengan putar-belit terhadap hal berkaitan Statut Rom,” katanya.

Beliau turut membangkitkan persoalan tentang apakah maknanya reformasi pentadbiran yang sedang berjalan sekarang jika kerajaan terpaksa pula menempuh jalan sukar seperti itu.

Katanya, kepimpinan Dr Mahathir wajar dipertahankan daripada gangguan tidak demokratik.

“Kita semua bertanggungjawab mempertahankannya,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: