PUTRAJAYA- Separuh pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) adalah golongan kaya yang menjadikan entiti itu sebagai tempat pelaburan.
Dengan itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pihak lembaga pengarah dan pengurusan baharu sedang membuat pertimbangan sama ada untuk melakukan perubahan bagi memastikan matlamat sebenar penubuhan TH tidak lari atau meneruskan model sedia ada.
Perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut, katanya.
“Statistik yang kami ada sangat jelas menunjukkan perkara ini (sebahagian besar pendeposit adalah golongan kaya) yang mana kami mempunyai 9.3 juta pendeposit dengan jumlah keseluruhan simpanan sebanyak RM74 bilion.
“Satu pertiga daripada pendeposit tersebut memiliki simpanan sebanyak RM37 bilion.
“Ini bermakna separuh atau lebih 50 peratus daripada deposit adalah daripada golongan kaya. Ia sudah terlebih,” katanya semasa sidang media pengumuman prestasi kewangan dan hibah bagi tahun kewangan 2018 di sini hari ini.
Tambah Zukri, TH terpaksa membuat polisi terbaharu dengan tidak membenarkan individu yang telah menunaikan haji walaupun sekali sudah untuk mendaftar lagi kerana tempoh menunggu ketika ini terlalu panjang.
Katanya, seramai 3.2 juta orang telah membuat pendaftaran haji sedangkan TH hanya mampu menghantar kira-kira 30,000 orang sahaja setiap tahun.
Ini menyebabkan tempoh menunggu (secara matematiknya) adalah 107 tahun.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai terdapat kemungkinan pendeposit membuat pengeluaran besar-besaran susulan pengumuman hibah terendah dalam sejarah, Zukri berkata, TH sedang memantau situasi tersebut.
Bagaimanapun, entiti berkenaan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Kami harap tidak dan setakat yang kami lihat, kadar pengeluaran adalah normal walaupun pelbagai cerita buruk atau khabar angin mengenai TH disebarkan.
“Namun begitu, kami bersedia dengan menyediakan tunai yang secukupnya (sekiranya benar-benar berlaku pengeluaran besar-besaran) bagi memastikan permintaan pendeposit dipenuhi,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette