Home Nasional Tiga negara besar mahu jadikan Malaysia hab halal dunia

Tiga negara besar mahu jadikan Malaysia hab halal dunia

Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

KUALA LUMPUR – Hasrat Malaysia untuk menjadi hab halal dunia menjelang 2020 semakin cerah apabila tiga buah negara besar telah menunjukkan minat dan sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk merealisasikan impian itu.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, walaupun pada masa ini beliau terpaksa merahsiakan tiga negara berkenaan, namun usaha itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Tak boleh sebut, negara dia besar-besar belaka dan mahu bekerjasama dengan kita dan ia mahu membantu mewujudkan satu hab halal nombor satu di dunia dari segi pelbagai produk halal.

“Mereka ini memahami proses-proses halal bukan sahaja dari segi sembelihan haiwan bahkan merangkumi semua proses halal, GMP, ACCP dan sebagainya.

“Mereka tahu permintaan dunia, jadi mereka sendiri tidak mahu melepaskan peluang ini, mereka sama-sama mahu menikmati pendapatan yang lebih meluas.

“Malaysia akan digunakan sebagai hab halal sebab kita ada kepakaran yang tinggi yang telah dimulakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Personaliti Indusri dan Usahawan Malaysia 2019 anjuran NiagaTimes.com di Sheraton Imperial Hotel, di sini, malam ini.

Terdahulu Mohd Rezduan dalam ucapannya berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan sudah berbincang dengan tiga negara besar dan mereka mahu bekerjasama untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal dunia.

Beliau berkata, melalui hab halal itu juga, ia bakal melonjakkan jumlah eksport Malaysia daripada 17 peratus kepada 23 peratus menjelang 2020 yang disumbangkan daripada industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Kita kalau tengok secara keseluruhan, sumbangan eksport daripada PKS pada 2017 berkisar sekitar 17 peratus, jadi sasaran kita pada 2020 sumbangan eksport 23 peratus

“Tapi apakah sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan 23 peratus? Antara lain utamanya ialah industri halal. Dalam masa tiga bulan lepas, kita sudah lihat tanda-tanda memberangsangkan di mana ia semakin meningkat,” katanya.

Ditanya tentang kepentingan hab halal kepada negara, Mohd Redzuan berkata, sektor itu merupakan satu-satunya industri penyumbang terpantas kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya nampak itulah menang-cepat yang boleh kita terokai dan terus boleh membangunkan usahawan-usahawan di negara kita

“Kita selalu jelaskan sasaran kita, di Parlimen pun saya ada sebut sumbangan daripada PKS kita mahu sasarkan kepada 41 peratus pada 2020.

“Jadi kalau kita tengok dari segi sektor yang pertumbuhannya tinggi (hab halal) walaupun sektor lain makan masa, sektor halal ada quick-win (Menang-Cepat) boleh mendapat pulangan cepat,” katanya.

Kata beliaui, kementeriannya akan mengumumkan perkara itu secara rasmi siapa terlibat dan hala tuju pembangunan hab halal berkenaan selewat-lewatnya pada pertengahan tahun ini.

“Dalam masa terdekat contoh kita akan membuat satu pengumuman mungkin bulan enam (Jun) dan itu akan memberi impak kepada industri halal di Malaysia terutamanya untuk merangsang usahawan-usahawan lain.

“Insya-Allah dengan adanya rancangan ini boleh juga menarik pelaburan-pelaburan asing datang ke sini untuk membangunkan industri halal bukan sahaja daripada golongan pengusaha Islam tapi bukan Islam.

“Ada beberapa negara yang minat (hub halal) antaranya dari Eropah, Rusia, China dan hemisfera selatan,” katanya. – MalaysiaGazette