KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak masih belum berpuas hati dengan solidariti dalam parti itu.
Justeru itu katanya wujud tindakan pemimpin parti yang sanggup keluar daripada parti itu kemudian menyertai parti seteru.
Semangat kesepaduan dan kesetiaan ahli parti penting bagi memastikan tidak ada UMNO kedua, kata beliau lagi.
“Saya tak puas hati dengan solidariti dalam UMNO. Walaupun nampak baik tapi usaha untuk meningkatkan lagi semangat perpaduan dalam UMNO mesti kita lakukan supaya hanya akan ada satu UMNO sahaja,” katanya pada sesi Townhall Politik Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Oleh sebab itu, kata Najib, akar umbi sehingga ke peringkat pemimpin perlu menjaga kepentingan UMNO.
“Semua pemimpin UMNO tolong letakkan kepentingan UMNO atas segala kepentingan selain mengenepikan amalan berpuak-puak.
“Sebab itulah barangkali kerana mesej ini saya dapat tahu ada katak-katak lain lompat jangan ada bapak katak, anak katak lain,” ujarnya seloroh.
Beliau menujukan perkara itu kepada pemimpin UMNO yang telah meninggalkan parti itu dengan menyifatkan tindakan mereka satu hari nanti akan mendapat balasan.
“Yang tinggalkan UMNO mereka ini orang UMNO tak akan maafkan…. Satu hari nanti terimalah apa-apa balasan,”tambah Najib. -MalaysiaGazette