Home Politik Pemimpin MIC didakwa provokasi warga emas

Pemimpin MIC didakwa provokasi warga emas

Naib Ketua Angkatan Pemuda Keadilan Malaysia (AMK), T. Subramaniam menunjukkan laporan polis berikutan seorang pemimpin tertinggi parti Komponen Barisan Nasional yang didakwa memprovoksi dan memalukan seorang warga emas semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, Bandar Ekar, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 06 APRIL 2019.

PRK RANTAU- Sikap seorang pemimpin tertinggi parti komponen Barisan Nasional (BN) yang didakwa memalukan seorang warga emas berusia 61 tahun semasa kempen PRK DUN Rantau.

Insiden itu didakwa berlaku malam tadi sekitar pukul 8.30 hingga 9.30 malam ketika warga emas dari Bandar Ekar dekat sini melalui lokasi ceramah umum BN.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Thiban Subramaniam berkata, insiden itu disedari menerusi klip video yang tular dalam media sosial.

Katanya, video berdurasi satu minit 35 saat itu menunjukkan warga emas yang dikenali sebagai Nadarajah didekati sekumpulan penyokong dan pemimpin MIC yang cuba memujuk warga emas yang menjadi penyokong Pakatan Harapan (PH) untuk menukar bajunya kepada baju BN.

“Dalam video itu jelas menunjukkan Timbalan Presiden MIC Datuk M. Saravanan bertanya kepada warga emas yang berpakaian baju kemeja PH berwarna merah sama ada boleh atau tidak menukar baju berlainan warna.

“Warga emas itu menjawab beliau tidak ada masalah untuk mengenakan baju apa jua warna pun sebelum beberapa penyokong BN yang bersama Saravanan ketika itu mendesak warga emas itu supaya meminta warna biru.

“Kemudian Saravanan telah telah mengenakan pakaian baju t-tertera Bossku selepas warga emas itu mebuka t-shirt PH tanpa menyedari apa yang sedang berlaku di sekelilingnya,” katanya dalam sidang media khas di Bilik Media Bilik Gerakan Utama PH petang tadi.

Menurut Thiban, tindakan itu disedari menantu lelakinya, Saravanan Shanmugam yang juga Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi PH Bandar Ekar setelah mangsa pulang ke rumah sekitar 10 malam.

Malah kata Thiban, ahli keluarga turut terkejut selepas melihat bapanya balik dengan mengenakan baju kemeja T Bossku sebelum mangsa mendakwa tidak ingat apa yang telah berlaku kepadanya.

Katanya, insiden itu telah mencetuskan panik  sehingga warga emas terbabit tidak mahu keluar rumah ekoran kejadian itu.

Thiban dalam pada itu menyesal dengan tindakan provokasi kumpulan penyokong BN lebih-lebih lagi terkejut apabila seorang bekas timbalan menteri serta Ahli Parlimen Tapah sanggup berbuat demikian.

“Kami sedih mereka jadikan warga emas itu sebagai bahan jenaka dan menggunakan medan politik kempen untuk provokasi pengundi.

“Ia jelas memberi impak buruk dan mencalar imej keluarga, sekaligus kami mula bimbang dengan keselamatan Nadarajah kerana video itu diviralkan dalam media sosial.

“Kami telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu segala video dan foto berkaitan insiden itu telah diserahkan kepada polis di Balai Polis Rantau untuk disiasat dan tindakan lanjut sementara laporan ini juga akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan sewajarnya,” kata beliau.

“Sebagai seorang pemimpin MIC dan wakil rakyat kami sedih Saravanan patut menunjukkan contoh yang baik dan ia tindakan tak berakhlak oleh pemimpin itu.

“Kami merayu masyarakat supaya jangan viralkan video itu dan tolong memadamkannya kerana ia boleh membahayakan mangsa berkemungkinan jadi kritikan awam,” tegasnya.- MalaysiaGazette