KUALA LUMPUR – Singapura menafikan negara itu mendapat maklumat mengenai projek hab pemindahan kapal-ke-kapal yang baru dilancarkan di Selat Johor.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa projek itu diketahui Singapura.
Dalam satu kenyataan ringkas oleh Kementerian Hal Ehwal Luar, Singapura berkata, negara itu sedang mencari lebih banyak maklumat daripada Putrajaya mengenai projek tersebut.
Ia termasuk lokasi yang tepat serta potensi implikasi berkaitan dengan hubungan dua hala dan kewajipan antarabangsa.
“Singapura telah meminta maklumat itu daripada Malaysia untuk menilai implikasinya terhadap Singapura,” kata kenyataan tersebut.
Baru-baru ini, Perdana Menteri memaklumkan mengenai projek itu, kerjasama antara syarikat tempatan, KA Petra Sdn Bhd dengan syarikat perkapalan terbesar dunia yang berpangkalan di Hong Kong, Hutchison Port Holdings Limited.
Kos projek itu dianggarkan di antara AS$150 juta hingga AS$180 juta akan dibiayai menggunakan dana dalaman dan pinjaman.
Pembinaan projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan jangkaan pelaksanaan awal dalam tempoh 12 bulan.
KA Petra menguasai 70 peratus kepentingan dalam projek itu, manakala Hutchison memegang 30 peratus.
Projek itu akan dilaksanakan di perairan Malaysia.
Malaysia dan Singapura terlibat dalam pertikaian mengenai sempadan maritim dengan Singapura selepas republik itu menolak langkah Malaysia untuk menambah sempadan pelabuhan Johor Bahru.
Ia berkata, sempadan baharu itu menceroboh perairan wilayah Singapura namun dipertikaikan oleh Malaysia.
Bulan lepas, kedua-dua negara bersetuju untuk menangguhkan semua aktiviti komersil di zon bertindih antara had pelabuhan Johor Bahru di luar Tanjung Piai dan pelabuhan Singapura melepasi Tuas. – MalaysiaGazette