Home Nasional Status Rom kecoh sebab tak ikut prosedur – Tok Him

Status Rom kecoh sebab tak ikut prosedur – Tok Him

Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana menarik diri daripada menjadi ahli Statut Rom.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, kekecohan isu itu timbul disebabkan ia diputus dan diurus tidak mengikut amalan prosedur biasa dibuat oleh negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

“Bukankah semua urusan dan perkara yang melibatkan negara dan rakyat wajib dibawa ke Parlimen terlebih dahulu?

“Sepatutnya kerajaan melalui Wisma Putra membawa usul mengenai cadangan menjadi ahli Statut Rom ke Parlimen dengan terbuka dan tanpa berselindung.

“Kemudian usul tersebut boleh dibahas dan diluluskan oleh Parlimen,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menggugurkan ratifikasi Statut Rom.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung pagi semalam.

Menurut Perdana Menteri, banyak pihak keliru mengenai Statut Rom hingga menyebabkan keputusan menggugurkan ratifikasi dibuat.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, memandangkan ia melibatkan Raja-Raja Melayu sebagai ketua negara dan negeri maka taklimat serta penerangan secukupnya dipersembahkan oleh Peguam Negara yang dibantu pakar perundangan  kepada Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu.

Kata beliau, sesudah Majlis Raja-Raja Melayu berpuas hati dan memberi perkenan barulah ia dibawa ke Parlimen.

“Raja-Raja mempunyai hak dan peranan di bawah Konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Adalah menghairankan mengapa hal asas seperti ini tidak difahami setelah 60 tahun negara mencapai kemerdekaan,” ujar beliau.

Menurut Ibrahim, apabila dibawa ke Parlimen dan dibahas serta diluluskan, rakyat akan mendapat maklumat dan tercatat dalam hansard Parlimen.

Katanya, semua urusan kerajaan wajib dibawa ke Parlimen bukan boleh diberi alasan kononnya jika dibahas akan menimbulkan masalah untuk membuat keputusan.

“Kerajaan mempunyai hak, tetapi hak tersebut mesti mengikut peraturan. Ini sepatutnya dilakukan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

“Apabila timbul kekecohan dan ada pihak yang menyoal dan mengkritik, tidaklah wajar dituduh untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

“Memanglah apabila dibuat sesuatu tidak mengikut peraturan sepatutnya, pasti ada pihak tidak berpuas hati, membuat bising dan membantah,” katanya.

Ujarnya, ini sama seperti Pakatan Harapan (PH) semasa menjadi pembangkang sebelum ini, yang mana terdapat kalangan pemimpinnya mengutuk, mengecam, mengkritik dan membantah kerajaan Barisan Nasional (BN) malah mengadakan demonstrasi seperti anjuran BERSIH.

“Rakyat tahu PH telah memukul canang berikrar untuk menjadi kerajaan yang lebih telus, lebih hebat dan jauh lebih baik daripada BN.

“Ini janji PH. Hakikatnya kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Sekarang ini beban terletak atas bahu kerajaan PH Malaysia Baharu untuk membuktikan ketelusannya dan berintegriti.

“Mana mungkin ada pihak boleh menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan yang mempunyai majoriti di Parlimen,” katanya.

Apatah lagi, jelas beliau,  Mahathir yang mendapat sokongan kuat daripada pembangkang seperti Pas yang mahu Perdana Menteri itu mentadbir sampai tamat penggal PRU-14.

Katanya, BN pun menyokong Perdana Menteri seperti yang diumumkan oleh Datuk Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini.

“Masalahnya, Menteri Luar telah membuat kerja tidak senonoh mengenai Statut Rom yang akhirnya menyusahkan Mahathir dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Buat kerja dalam gelap dan cuba berselindung tetapi hakikatnya orang nampak. Kemudian buat tuduhan itu dan ini serta menyalahkan orang lain. Ternyata tidak cerdik dan memalukan,” tegasnya. – MalaysiaGazette