Home Nasional Al-Quran bersaiz besar jadi tarikan di PBAKL 2019

Al-Quran bersaiz besar jadi tarikan di PBAKL 2019

Pengurus Besar, Jualan dan Pemasaran Kumpulan Buku Karangkraf, Raja Shahfaizal Khairudin bergambar bersama kitab suci Al-Quran berjudul Al-Imam pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 07 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Al-Quran terbitan Kumpulan Karangkraf menjadi tumpuan pengunjung sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL) 2019 yang melabuhkan tirainya hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini yang bemula 29 Mac lalu.

Ini kerana, kitab suci itu bersaiz lebih besar bagi memudahkan pembaca untuk membaca al-Quran dengan lebih jelas.

Pada masa sama, al-Quran berjudul Al-Imam itu memiliki keunikan kerana pembaca dapat mengetahui tempat berhenti (waqaf) iaitu merupakan kemampuan asas yang perlu dimiliki setiap muslim.

Ia juga memudahkan pembaca memahaminya apabila dapat memberi kemudahan dengan menambah kefahaman terhadap makna ayat-ayat al-Quran.

Pengurus Besar, Jualan dan Pemasaran, Kumpulan Buku Karangkraf, Raja Shahfaizal Khairuddin memberitahu lebih 200 unit nashkah Al-Imam terjual sepanjang 10 hari PBAKL 2019.

“Sebenarnya terbitan Al-Imam adalah permintaan tinggi daripada pembaca bagi memudahkan pembaca mereka.

“Antara keistimewaannya apabila pembaca dapat mengetahui di mana mereka berhenti dan untuk memulakan sambungan semula bacaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

PBAKL 2019 akan berakhir hari ini dan rekod pengunjung pada tahun ini adalah seramai satu juta orang.

Raja Shahfaizal menambah Al-Imam dijual pada harga RM75 kepada ahli dan RM80 kepada bukan ahli sepanjang PBAKL 2019.

Katanya, harga pasaran biasa adalah RM95 bagi naskah berukuran 25 sentimeter (sm) x 38 sm iaitu saiz B4 yang lebib besar dari saiz A4.

“Al-Imam yang mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri dan memiliki 640 muka surat berwarna.

“Selain buku keagamaan, pengunjung juga menggemari buku seram yang menjadi antara buku popular di pesta buku kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette