Home Dunia Harga sewa rumah naik, penduduk Jerman tunjuk perasaan

Harga sewa rumah naik, penduduk Jerman tunjuk perasaan

Tunjuk perasaan oleh penduduk di Berlin susulan kenaikan harga sewa. foto AGensi

BERLIN – Beribu-ribu rakyat Jerman tunjuk perasaan di jalan-jalan raya di ibu negara ini bagi membantah kenaikan harga sewa.

Mereka mendakwa kos perumahan di ibu negara Jerman telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

Lantaran itu, mereka mendesak kerajaan tempatan untuk merampas harta yang dimiliki oleh tuan-tuan tanah persendirian.
Malah, beberapa kempen telah melancarkan petisyen yang memanggil referendum mengenai isu itu.

Protes yang sama juga berlaku di Munich dan Cologne.

Menurut kajian 2019 oleh kumpulan hartanah CBRE Berlin dan Berlin Hyp AG, sebuah bank pemberi pinjaman, purata harga sewa di bandar kini telah melepasi 10 euro (£ 8.62) bagi satu meter persegi, 5.0 peratus lebih tinggi daripada setahun lalu.

Kajian itu juga mendapati harga sewa di pinggir bandar Berlin naik secara perlahan-lahan.

Petisyen yang ditubuhkan oleh penunjuk perasaan menyeru pihak berkuasa tempatan untuk merampas harta yang dimiliki oleh tuan-tuan tanah swasta yang memiliki lebih daripada 3,000 pangsapuri.

Deutsche Wohnen merupakan salah sebuah syarikat swasta yang disasarkan oleh penunjuk perasaan.

Syarikat itu memiliki 115,000 hartanah di bandar ini.

Walau bagaimanapun, kerajaan tempatan mengatakan merampas harta akan menelan kos sebanyak 37 bilion euro (£ 13.8 bilion) dalam pembayaran pampasan, laporan Deutsche Welle.

Berlin telah memperkenalkan larangan ke atas pemilik rumah yang membiarkan hartanah mereka disewa kepada pelancong – satu strategi popular dalam kalangan pemilik kediaman. – MalaysiaGazette