![MGF06042019_KEMPEN CALON BN_50](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2019/04/MGF06042019_KEMPEN-CALON-BN_50-640x427.jpg)
SEREMBAN – Masyarakat Islam di negara ini kecewa dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pimpinan PH gagal mempamerkan corak kepimpinan yang mantap biarpun sudah mencecah 11 bulan memerintah Putrajaya.
Lantaran itu, Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat negara ini gelisah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei tahun lalu.
“Negara kita sudah banyak kali PRU, bukan kerana kita (BN) kalah tetapi rakyat rasa gelisah selepas PRU14.
“Orang Melayu rasa kecewa kerana kegagalan PH untuk menyediakan satu corak kepimpinan yang lebih mantap.
“Dulu war-warkan (PH) kata boleh jadi kerajaan Malaysia Baharu yang hebat,” katanya dalam siri ceramah di PDM Kampung Sri Lalang, Rantau.
![MGF06042019_KEMPEN CALON BN_49](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2019/04/MGF06042019_KEMPEN-CALON-BN_49-1.jpg)
Hadir sama Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Katanya lagi, rakyat digula-gulakan oleh PH dengan manifesto yang mampu untuk menarik undi kepada mereka.
Malah, katanya, PH telah memberikan kepercayaan dengan harapan negara ini akan jadi negara yang lebih cemerlang daripada yang pernah dilakukan BN.
“Janji mereka telah melenakan kita terutama orang muda. Janji pelajaran percuma, PTPTN tidak payah bayar, tiada tol.
“Felda pula ‘dinyanyikan’ hutang mereka dihapuskan,” kata Tok Mad di hadapan lebih 500 pengundi PDM Kampung Lalang, Rantau.
Oleh yang demikian menurut Tok Mad, sebaik dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO pada Jun 2018, beliau terus menghubungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi merencanakan penyatuan antara kedua-dua parti Melayu itu.
“Saya kata kepada Hadi ke mana nak satukan Melayu kerana kita terlampau berpecah-belah.
“Kita rugi dan kita akan menjadi orang yang lemah. Saya kata ini wawasan saya dan saya diberi mandat dalam UMNO.
“Pertama saya nak memperkasakan UMNO dan kedua kami nak menyusun strategi untuk menghadapi PRU15,” katanya menceritakan peristiwa sebenar antara penyatuan Pas-UMNO.
Mohamad menambah, perpecahan dua parti Melayu terbesar dalam negara ini sebenarnya menyebabkan PH mudah menang di 29 kerusi Parlimen, sekali gus merampas Putrajaya daripada BN.
“Kalau kita berunding elok, 29 kerusi ini kita tidak saja-saja bagi pada PH.
“Banyak yang duduk dalam Parlimen dan Kabinet hari ini tidak patut menang, tetapi mereka menang kerana tidak ada kerjasama dengan Pas-UMNO,” katanya lagi. -MalaysiaGazette