Home Nasional Pengawal keselamatan warga emas cedera dipukul pelawak

Pengawal keselamatan warga emas cedera dipukul pelawak

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan berusia 70 tahun melalui detik malang apabila dia bukan sahaja ditumbuk, malah turut ditendang dan dibaling batu oleh pelawak terkenal dalam kejadian pergaduhan di Taman Acacia, Nilai, Negeri Sembilan malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Yahya Manap cedera di hidung dan bengkak pada muka dan sakit belakang badan akibat kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, berdasarkan laporan, pelawak lelaki berusia 49 tahun yang memandu Proton Perdana memasuki kawasan perumahan tanpa kebenaran selepas mengekori kenderaan seorang penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

“Pengawal keselamatan kemudian menutup palang pos keselamatan dan mengejar kenderaan berkenaan.

“Selang beberapa minit lelaki itu ingin keluar tetapi tidak boleh kerana palang ditutup.

“Lelaki itu turun dari kenderaan sebaik mangsa sampai lalu berlaku pertengkaran dan lelaki itu menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali, selain menendang pinggang serta membaling batu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Nor Marzukee berkata, penduduk yang melihat kejadian cuba mententeramkan keadaan dan lelaki itu mengugut mangsa sebelum beredar.

Berikutan kejadian itu, katanya, mangsa membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan di lokasi dan memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette