Home Nasional Pertumbuhan ekonomi NS lebih pantas berbanding Pulau Pinang – Najib

Pertumbuhan ekonomi NS lebih pantas berbanding Pulau Pinang – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menafikan ekonomi Negeri Sembilan telah diabaikan semasa BN menjadi kerajaan seperti yang disembang oleh PH dalam ceramah politik PRK Rantau semalam.

Bekas perdana menteri itu berkata, tidak boleh dinafikan bahawa ekonomi Negeri Sembilan mengalami pembangunan yang pesat sejak 10 tahun yang lalu ini dengan pelbagai projek seperti Bandar Sendayan, Seremban 2, Kawasan Perindustrian Senawang dan Malaysian Vision Valley.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Per Kapita untuk Negeri Sembilan berkembang 55.7 peratus daripada RM26,722 pada tahun 2008 kepada RM41,615 pada tahun 2017.

Kadar itu lebih cepat berbanding kadar 52.4% yang dicatatkan apabila KDNK Per Kapita Pulau Pinang naik dari RM32,724 (2008) kepada RM49,873 (2017)

“Ini disahkan oleh data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Julai 2018 di bawah kerajaan PH.

“Ya, data menunjukkan Negeri Sembilan telah berkembang pada kadar yang lebih cepat berbanding negeri kesayangan PH di bawah kerajaan BN semasa Tok Mat adalah Menteri Besar dan saya PM,” katanya sambil berkata, adalah tidak benar bahawa ekonomi Negeri Sembilan telah diabaikan pada masa BN menjadi kerajaan seperti yang didakwa oleh PH dalam ceramah politik PRK Rantau, semalam.

Jika BN masih kerajaan hari ini, pembangunan Negeri Sembilan tentu akan lebih pesat lagi kerana projek Kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang melalui negeri ini sudah mula dibina dan bukan ditangguhkan oleh PH.

BN telah menggariskan pelan jangka panjang di bawah manifestonya ke arah menjadikan Negeri Sembilan Moden 2045 melalui Pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) dan Hala Tuju Luar Bandar Negeri Sembilan.

Ini melibatkan pembangunan perbandaran baharu dengan disokong oleh projek infrastruktur seperti HSR dan pelbagai projek lain yang bakal memberi impak besar.

MVV juga akan meneroka kluster ekonomi baharu yang berteraskan teknologi bersih sekali gus menjamin kelestarian dan kesejahteraan hidup penduduk dan alam sekitar, tambah Najib.

“Kita tidak bergantung kepada tanam buluh atau tanam ganja untuk memajukan ekonomi sesebuah negeri,” sindirnya. – MalaysiaGazette