KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk mengumumkan penarikan Malaysia daripada Statut Tom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) secara bersendirian pada dua hari lalu.
“Perdana menteri memutuskan untuk mengadakan sidang akhbar itu dengan cara itu.
“Macam ni. Kamu bekerja dengan arahan perdana menteri, jadi bila perdana menteri kata dia mahu mengadakan sidang akhbar – dia mahu adakan sidang akhbar.
“Dia tahu yang terbaik bila dia mahu para menteri bersamanya, berapa menteri dan menteri mana yang akan datang ke sidang akhbar itu,” kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah kepada Malaysiakini.
Beliau mengulas tindakan Dr Mahathir yang mengumumkan penarikan Malaysia daripada Statut Rom secara solo hingga mencetuskan spekulasi kononnya Kabinet tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, keputusan itu telah dipersetujui Kabinet.
Mengimbas kembali perkara-perkara yang membawa kepada keputusan kabinet pada Jumaat, Saifuddin berkata, beliau juga mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Majlis Raja-raja pada Selasa lalu selepas menerima persetujuan Kabinet.
Beliau menambah individu lain yang bertemu dengan Majlis Raja-raja secara berasingan pada hari itu termasuk Panglima Angkatan Tentera, Zulkifli Zainal Abidin, peguam Negara Tommy Thomas dan profesor undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rahmat Mohamad.
Bagaimanapun, Saifuddin tidak dapat mendedahkan apa yang berlaku ketika itu.
Saifuddin berkata, pada Jumaat Mahathir sekali lagi bertemu Yang Di-Pertuan Agong sebagaimana amalan sebelum mesyuarat kabinet.
Berikutan pertemuan tersebut, Mahathir membangkitkan isu Statut Rom dalam mesyuarat Kabinet.
Saifuddin tidak mendedahkan butiran keputusan itu tetapi berkata hasilnya adalah keputusan sebulat suara untuk menarik diri daripada Statut Rom.
Saifuddin berkata, meskipun ada menteri yang bersuara, akhirnya mereka memahami mengapa harus membuat keputusan sebegitu.
“Saya fikir kami semua tahu apa yang berlaku dan sebab kita buat keputusan itu. Kabinet selalu seperti itu,” katanya. – MalaysiaGazette