Home Nasional PR1MA Rantau diteruskan tanpa kos tambahan

PR1MA Rantau diteruskan tanpa kos tambahan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin diiringi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong (enam kanan) berbincang dengan sebahagian pembeli dalam lawatan ke tapak PR1MA Rantau di Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2019.

RANTAU – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin memberikan jaminan kepada 600 pembeli Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bahawa tiada caj tambahan akan dikenakan kepada mereka.

Mengulas lanjut Zuraida berkata janji itu diberikan setelah KPKT membuat kajian dan mendapati projek berkenan akan tetap disiapkan oleh pemaju sedia ada, Bina Terbit Sendirian Berhad tanpa tambahan kos.

“Tidak kos tambahan, apa-apa projek yang lewat pembeli boleh minta Kadar Denda dan Gantirugi Ditetapkan (LAD).

“Insyaallah bila projek dah siap rumah cantik boleh tinggal, boleh bincang dengan saya,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak PR1MA Rantau.

MalaysiaGazette semalam melaporkan sejumlah 600 pembeli projek berkenaan mengadu mereka terpaksa menanggung kos pembayaran rumah daripada pihak bank Biarpun rumah mereka masih belum disiapkan sepenuhnya.

Menurut Zuraida, bayaran tertunggak kepada kontraktor sebanyak RM13 juta juga akan diselesaikan kementeriannya.

“Itu kita akan selesaikan dan lepas tu boleh teruskan projek. Dalam situasi ini PR1MA dah dibawah KPKT, kita akan selesaikan dengan cara menyeluruh,” katanya lagi.

Artikel berkaitan: PR1MA Rantau siap Mei tahun depan – Zuraida

Awal hari ini, Zuraida mengumumkan projek PR1MA Rantau akan diteruskan dan dijangka siap Mei 2020.

Projek itu sepatutnya siap dibina pada 31 Januari 2019 yang terdiri daripada 766 unit rumah iaitu sebanyak 201 unit rumah satu setengah tingkat dan 566 rumah 2 tingkat. -MalaysiaGazette

Mana rumah PR1MA kami?