Home Nasional PR1MA Rantau siap Mei tahun depan – Zuraida

PR1MA Rantau siap Mei tahun depan – Zuraida

Gambar hiasan

SEREMBAN – Kerajaan telah mengenal pasti kontraktor penyelamat bagi meneruskan projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Rantau yang sebelum ini berdepan dengan isu kelewatan pembinaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata kontraktor penyelamat berkenaan yang dilantik dalam tempoh terdekat akan memulakan kerja secepat mungkin dan ia dijangka siap menjelang Mei tahun hadapan.

“Insya-Allah projek ini akan siap pada Mei 2020, maknanya projek ini ada kelewatan selama 16 bulan.

“Pada hemat saya lewat satu setengah tahun bukan satu perkara besar kalau lagi kritikal projek sampai 10 hingga 20 tahun (kelewatan), ini masih lagi dapat dikawal dan saya sendiri akan pastikan bahawa kerja ini akan diteruskan dan akan dimulakan secepat mungkin,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Semalam, sekumpulan pembeli projek perumahan tersebut menyatakan rasa tidak puas hati mereka kerana pembangunan projek itu dilihat terlalu perlahan sedangkan ia sepatutnya disiapkan pada Januari lepas.

Zuraida berkata projek yang bermula pada Januari 2017 bernilai RM171 juta itu membabitkan sebanyak 766 unit rumah dengan 80 peratus atau 620 unit daripadanya sudah terjual.

Setakat ini, kemajuan fizikal projek itu sudah pun pada tahap 56 peratus, kata Zuraida.

Ditanya sama ada kelewatan projek itu antara lain berpunca daripada kelewatan pembayaran kepada kontraktor lama, Zuraida berkata setakat ini kerajaan sudah pun membayar sebanyak RM70 juta kepada kontraktor berkenaan.

— BERNAMA

Artikel berkaitan: Mana rumah PR1MA kami?