Home Nasional 1,094 tuntutan diterima MySalam

1,094 tuntutan diterima MySalam

Lim Guang Eng

KUALA LUMPUR – Sehingga 4 April 2019 sebanyak 1,094 tuntutan telah dibuat kepada skim MySalam menerusi portal MySalam.

Proses tuntutan oleh pengendali takaful skim akan dikendalikan dalam jangka masa dua minggu.

Lim Guan Eng berkata, sebanyak 97 tuntutan berjumlah RM40,200 telah dibayar, yang mana mana 95 tuntutan untuk kemasukkan hospital dan 2 tuntutan untuk penyakit kritikal.

Menteri Kewangan itu berkata, seramai 3.8 juta golongan B40 dijangkakan layak untuk menjadi penerima skim MySalam.

Mereka ini merupakan penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) di seluruh negara yang berusia antara 18 tahun hingga 55 tahun.

Skim ini berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 dan penerima yang layak boleh membuat tuntutan takaful mulai 1 Mac 2019 menerusi portal MySalam.

Skim ini bertujuan mengurangkan bebanan golongan isi rumah B40 yang mudah terjejas akibat kejutan kewangan
sekiranya berlaku kemasukan ke hospital atau penyakit kritikal yang tidak dijangka.

Menurutnya, golongan isi rumah B40 lebih terdedah kepada kejutan kewangan dan kehilangan pendapatan sewaktu menerima rawatan, terutamanya mereka yang bekerja sendiri atau dibayar gaji harian.

Skim ini bukan merupakan perlindungan takaful kesihatan dan perubatan yang lazim disediakan oleh pengendali takaful berlesen.

“Ini adalah kerana wang tuntutan skim ini akan dibayar terus kepada penerima dan bukan kepada hospital atau klinik perubatan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (BN-Batang Lupar) yang bertanya jumlah penyertaan golongan B40 dalam Skim MySalam dan adakah skim ini akan diperluaskan ke seluruh negara. –  MalaysiaGazette