Home Nasional Akta Benih Tanaman hampir siap

Akta Benih Tanaman hampir siap

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub
Datuk Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menggubal Akta Benih Tanaman bagi mengawal dan menangani pengedaran benih padi tidak sah yang semakin berleluasa di pasaran.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, penggubalan akta berkenaan hampir siap sepenuhnya dan akan dimuktamadkan selepas maklum balas daripada beberapa agensi.

“Selepas itu baru ia akan dibentangkan di Parlimen.

“Akta ini akan digubal supaya kerajaan boleh mengawal sebarang penyalahgunaan benih padi untuk kepentingan petani kita,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (PH-Bagan Serai) mengenai usaha kerajaan menurunkan kadar penggunaan benih tidak sah atau diberi jolokan padi ‘beg putih’ dalam kalangan pesawah selain status pengedaran benih padi UKM-RC 2 dan UKM-RC 8 susulan pelbagai kajian keberkesanan sebelum ini.

Salahuddin berkata, kerajaan mengesyorkan kedua-dua jenis padi berkenaan untuk penanaman pada 21 Februari lalu manakala pengedaran kepada pesawah dilaksana mulai bulan ini bagi penanaman musim pertama 2019.

“Pengeluaran benih padi sah UKM-RC2 dan UKM-RC 8 dimulakan pada musim kedua, 2018 oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Corporation (MADACorp).

“Kuantiti benih yang dikeluarkan untuk UKM-RC 2 dan UKM-RC 8, masing-masing sebanyak 120 tan dan 80 tan untuk diedarkan bagi musim pertama tahun ini.

“Kadar pengeluaran benih UKM-RC 2 dan UKM-RC 8 ialah 3.5 peratus daripada jumlah keseluruhan benih padi negara,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berhubung kelebihan dua jenis padi berkenaan, Salahuddin berkata, kajian mendapati ia memiliki kemampuan dari segi ketahanan berdepan ancaman banjir selama 14 hari.

Selain itu, katanya, penanaman menerusi tanah MADA menunjukkan jenis benih padi berkenaan berupaya mengeluarkan hasil purata antara tujuh hingga lapan tan sehektar. – MalaysiaGazette