KUALA LUMPUR – Mana-mana pelajar dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kelulusan Pengarah Lembaga Peperiksaan.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pelajar tersebut tidak akan mendapat sijil SPM,
Sebaliknya, mereka hanya akan menerima penyata keputusan sahaja.
“Jika pelajar itu ambil mata pelajaran Bahasa Melayu, hanya penyataan keputusan akan diberikan untuk mata pelajaran tersebut.
“Namun pelajar itu mesti mendapat kelulusan pengarah Lembaga Peperiksaan dahulu.
“Sijil SPM pula akan diperolehi pelajar itu ambil enam mata pelajaran wajib dalam SPM dan mendapat kredit dalam Bahasa Melayu serta lulus Sejarah,” katanya kepada pihak media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Sebelum itu, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat menegaskan SPM bukanlah peperiksaan terbuka kerana pelajar kali pertama masih wajib mengambil enam mata pelajaran bagi melayakkan mereka menduduki peperiksaan itu. – MalaysiaGazette