Home Politik Kamu curi kamu tuduh Cina, kata Mat Sabu

Kamu curi kamu tuduh Cina, kata Mat Sabu

Mohamad Sabu

SEREMBAN – Kementerian Pertahanan dijangka mengisytiharkan laporan audit kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi tahun 2018 tidak lama lagi.

Menterinya Mohamad Sabu berkata, laporan audit LTAT yang diisytiharkan pada tahun lalu tidak menunjukkan prestasi kewangan yang sebenarnya.

“Tak lama lagi, Tabung Angkatan Tentera pula akan isytihar. Audit yang diisytiharkan tahun 2018 dulu bohong.

“Siapa dalam Tabung Angkatan Tentera? Melayu ke Cina? Siapa curi? Siapa tipu?

“Ini kamu curi, kamu rasuah, kamu tuduh Cina.

“Sampai bila naik main politik macam itu? Macam kita tidak ada maruah nak bela Melayu,” katanya semasa berucap di Ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Kampung Mambau malam tadi.

Turut hadir, calon Pakatan Harapan Dr. S. Streram dan Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Mohamad turut menyatakan pergolakan yang berlaku dalam Tabung Haji sebelum ini.

Katanya, Tabung Haji juga menerima nasib yang sama selepas laporan kewangannya dimanipulasikan oleh kerajaan terdahulu dengan membayar hibah tahunan 6 peratus dan menutup kerugian berbilion.

Namun, sejak mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada 9 Mei lalu, Kementerian Kewangan telah menyelamatkan Tabung Haji menerusi Perbadanan Kementerian Kewangan, bukan oleh Lim Guang Eng.

“Tabung Haji sebelum ini diselamatkan oleh perbadanan kewangan. Itu baru Tabung Haji.

“Menteri Kewangan bukan Najib Razak. Sekarang yang duduk menanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah Lim Guan Eng, fahamkah? Bukan Tabung Haji diselamatkan oleh Guan Eng.

“Siapa jadi Menteri Kewangan dia bertanggungjawab kena masukkan duit dalam TH sebanyak RM1.7 bilion untuk 10 tahun akan datang,” tegasnya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga menafikan bahawa Tabung Haji dipengerusikan oleh seorang pemimpin Cina.

“Dalam Khutbah sembahyang Jumaat sebuah masjid di Kedah, pengkhutbah kata pengerusi Tabung Haji adalah Cina…ya Allah, pengkhutbah bohong dalam khutbah Jumaat,” kata beliau. – MalaysiaGazette