KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini telah menandatangani Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-PRI), bagi menggariskan komitmen KWSP terhadap pelaburan bertanggungjawab dan amalan terbaik alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di samping memelihara kepentingan jangka panjang ahli.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, memandangkan dana KWSP menghampiri RM1 trilion, organisasi itu maklum bahawa penyelarasan aktiviti pelaburan dengan kepentingan masyarakat umum mencerminkan objektif sebagai dana persaraan yang didorong oleh pembangunan nilai jangka panjang dan mampan untuk pihak berkepentingan kami.
“Kami yakin bahawa pengamalan ESG boleh mempengaruhi prestasi portfolio pelaburan dari pelbagai sudut syarikat, sektor dan rantau.
“Dengan menandatangani UN-PRI, kami dengan rasminya menggariskan komitmen kami terhadap enam Prinsip Pelaburan
Bertanggungjawab, dan kami berhasrat untuk menggabungkan faktor-faktor ESG secara bermakna dalam proses langkah usaha wajar dan semasa membuat keputusan pelaburan, berikutan potensinya untuk meningkatkan pulangan selain mengukuhkan rangka kerja pengurusan risiko kami sedia ada,” katanya.
KWSP secara tradisinya merupakan pelabur berkesedaran sosial yang mengecualikan syarikat-syarikat yang dilihat sebagai tidak beretika seperti alkohol, tembakau, perjudian, persenjataan dan tenaga nuklear.
Pengumuman hari ini akan menyaksikan KWSP mengukuhkan komitmennya terhadap prinsip ESG dan pelaburan mampan, sekali gus menyediakan asas kepada amalan mesra alam dan berkesedaran sosial yang lebih kukuh,
sebagai tambahan kepada tadbir urus korporat yang mantap di kalangan syarikat-syarikat pelaburannya.
Tunku Alizakri berkata, ini boleh meningkatkan keupayaan KWSP untuk mengimbangkan pulangan kewangan dengan kesan yang boleh diukur ke atas masyarakat dan alam sekitar demi manfaat generasi akan datang.
“Walaupun pertimbangan kewangan kekal penting, KWSP juga perlu mengambil kira kesan aktiviti kami secara menyeluruh ke atas masyarakat, selain menekankan amalan baik dan betul, di samping mengurangkan yang negatif.”
UN-PRI diiktiraf sebagai pendokong utama pelaburan bertanggungjawab di dunia dengan lebih 2,000 penandatangan yang mewakili dana di bawah pengurusan melebihi AS$$70 trilion (RM288 trilion).
Inisiatif ini bertujuan untuk memahami implikasi pelaburan faktor-faktor ESG serta memberi sokongan kepada rangkaian pelabur antarabangsa dalam menggabungkan faktor-faktor ini ke atas keputusan pelaburan dan pemilikan mereka.
Penandatangan diwajibkan untuk melaksanakan enam Prinsip-Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab, termasuk menggabungkan pertimbangan ESG ke atas analisa pelaburan dan proses membuat keputusan, serta mewajibkan pelaporan ESG daripada syarikat-syarikat pelaburannya. – MalaysiaGazette