KUALA LUMPUR – MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) bercadang melantik perunding penasihat teknikal (TAC) untuk mengkaji semula aspek teknikal bagi tawaran mengurangkan kos Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, TAC akan mengkaji semula dan mengesahkan aset infrastruktur yang dicadangkan di Malaysia termasuk penjajaran, stesen dan kemudahan penyenggaraan HSR.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata pelantikan TAC merupakan langkah penting sebelum tempoh penggantungan pembinaan projek itu berakhir pada Mei 2020.
“Kami menggalakkan semua syarikat yang mempunyai pengalaman berkaitan untuk memasuki tender berikutan kajian semula ini akan membantu kami menentukan pelaksanaan yang tepat untuk projek ini,” katanya.
Kajian semula ini dijangka akan merangkumi aktiviti pengumpulan data di lapangan seperti data kajian topografi, kajian tanah dan penilaian keadaan tanah.
Malaysia dan Singapura bersetuju menggantung pembinaan HSR antara KL-Singapura sehingga 31 Mei, 2020 bagi membolehkan kedua-dua negara mencari kaedah terbaik bagi projek itu. – MalaysiaGazette