Home Nasional Nahas bas pekerja: Seorang lagi meninggal dunia

Nahas bas pekerja: Seorang lagi meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Nahas bas pekerja terjunam ke dalam longkang besar berhampiran MASKargo, Sepang, dekat sini, ragut mangsa ke-12 apabila seorang lagi disahkan meninggal dunia, petang ini.

Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamshah ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia pukul 4.30 petang tadi di Hospital Putrajaya dikenali sebagai Fitri Nurjahari, 21, warga Indonesia.

Mangsa sebelum ini dilaporkan kritikal selepas bas dinaiki bersama 42 penumpang lain yang kebanyakannya warga asing, terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk ke tempat kerja di MASKargo KLIA.

Dalam nahas itu, sembilan orang termasuk pemandu bas pekerja S.Suresh yang berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang dan Putrajaya dan kematian wanita Indonesia itu menjadikan jumlah korban keseluruhan 12 orang.

Siasatan awal polis mendapati bas pekerja yang membawa 43 pekerja kontrak MASKargo itu dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan dan mereka sepatutnya memulakan giliran kerja pada 12 tengah malam tadi. – MalaysiaGazette