Home Ekonomi Felda dakwa ditipu semasa melabur dalam Eagle Plantation

Felda dakwa ditipu semasa melabur dalam Eagle Plantation

KUALA LUMPUR – Felda membuat laporan polis semalam, mendakwa entiti itu ditipu semasa membuat pelaburan sebanyak AS$505 juta (kira-kira RM2.3 bilion) dalam firma peladangan Indonesia.

Firma peladangan itu dimiliki oleh rakan Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pengarah Felda, Othman Omar yang dipetik The Edge berkata, sejumlah wang yang dibayar bagi 37 peratus kepentingan dalam Eagle High Plantation TBK (EHP) adalah 344 peratus lebih tinggi berbanding nilai sebenar AS$114 juta.

EHP adalah sebahagian daripada Kumpulan Rajawali, milik Peter Sondakh, yang didakwa rapat dengan bekas perdana menteri itu.

Othman memberitahu, Felda membuat pinjaman sebanyak RM4.8 bilion untuk membiayai pinjaman daripada GovCo Holdings (GovCo), anak syarikat Kementerian Kewangan ketika kementerian itu diketuai oleh Najib.

“Disebabkan pembelian bernilai RM2.3 bilion itu, Felda mengalami kerugian teruk apabila nilai pembelian itu kini hanya RM555 juta pada bulan lalu,” menurut laporan The Edge yang memetik kandungan laporan polis yang dibuat oleh Othman.

Beliau berkata, Najib pada 2015 mengarahkan Felda menerusi kenderaan khasnya, FIC Properties Sdn Bhd melabur dalam EHP, selepas mengemukakan cadangan itu kepada FGV Bhd serta Lembaga Minyak Perladangan Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (MRB).

Othman berkata, perjanjian itu yang ditandatangani oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, adalah “satu pihak” dan “berisiko”, sambil menambah EHP mempunyai hutang sebanyak AS$547.4 juta pada tahun 2014 dan liabiliti AS$ 676.9 juta pada tahun 2016.

Beliau berkata, syarikat itu juga tidak mempunyai akreditasi minyak sawit yang mampan, dan tidak dapat mencapai pensijilan Meja Bulat mengenai pengesahan Minyak Sawit Mampan (RSPO) “walaupun selepas 10 tahun”.

Felda mempertahankan perjanjian itu dua tahun yang lalu dengan mengatakan ia memerlukan “rakan tempatan yang kuat bagi mewujudkan pelan perniagaannya untuk berkembang di Indonesia”.

“Oleh kerana Kumpulan Rajawali adalah antara konglomerat terbesar di Indonesia, ia adalah rakan kongsi yang banyak dicari bukan sahaja di sektor perladangan tetapi juga perniagaan lain yang berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, Felda dilaporkan berusaha untuk melupuskan kepentingannya dalam EHP. – MalaysiaGazette

+ posts