KUALA LUMPUR- Cukai perlepasan hanya dikenakan penumpang di lapangan terbang sahaja dan tidak melibatkan penumpang kapal persiaran.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi membetulkan semula kenyataan yang telah dibuat oleh beliau di lobi Parlimen awal hari ini yang mengatakan penumpang kapal persiaran turut dikenakan cukai berkenaan.
“Cukai perlepasan atau ‘departure tax’ yang bakal dilaksanakan pada 1 Jun nanti hanya dikenakan kepada penumpang di lapangan terbang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semasa membentangkan Bajet 2019 pada November tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Cukai Pelepasan berjumlah RM20 kepada setiap penumpang penerbangan bagi laluan ke negara Asean manakala RM40 bagi destinasi lain.- MalaysiaGazette