Home Nasional PH ini tidak lama, kami akan kembali – Idris Jusoh

PH ini tidak lama, kami akan kembali – Idris Jusoh

Datuk Seri Idris Jusoh UMNO Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin
Datuk Seri Idris Jusoh

KUALA LUMPUR – Sambil menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai cakap tidak serupa bikin dan asyik membuat pusingan ‘U’ sepanjang masa mentadbir, bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yakin ianya tidak kekal lama.

Malah, kata Ahli Parlimen Besut (BN), kerajaan terdahulu, Barisan Nasional akan kekal memerintah selepas rakyat semakin lama semakin celik dengan keadaan sekeliling.

Jelas Idris, setiap apa yang sebelum ini menjadi janji oleh mereka kepada rakyat akhirnya setelah mandat diberikan, ianya tidak lebih daripada sekadar mendapatkan undi untuk kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Malah tindakan mahu mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan kini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Kena tanya Menteri sekarang ini, berilah kebebasan kepada univesriti dan pensyarah. Mereka suarakan pandangan akademik mereka, itu diberikan penghargaan.

“Sokong kerajaan akademik bagus tapi jika berikan pandangan kritikal, tidak bagus. Perlu ambil tindakan. Ini sebenarnya tidak selaras dengan dengan perubahan AUKU yang dibuat baru-baru ini.

“Menteri sekarang tidak konsisten. Mereka tidak tahu apa yang mereka buat. Selalu sangat buat ‘u-turn’.

“Buat ‘u-turn, buat u-turn, buat u-turn lagi. Itulah kerajaan kini.

“Sepatutnya diberikan ruang kepada universiti untuk bersuara tetapi ini sebaliknya. Bukankah mereka yang bercakap tentang pelbagai kebebasan sebelum ini termasuk memberikan ruang kepada para akademik, pelajar serta universiti atau kolej? Apa sudah jadi?

“Datuk Seri Najib Tun Razak ke UKM tidak boleh pula. Saya boleh beri pelbagai contoh sebenarnya. Banyak sangat saya nak ulas. PH ini sebenarnya tidak lama.

“Insya Allah, kami akan kembali. Tidak lama mereka ini,” tegasnya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan akan membincangkan kedudukan empat ahli akademik yang menjalankan kajian berhubung perjanjian antarabangsa Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Semalam, Ketua Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Asheeq Ali Sethi Alivi mendedahkan mengenai rumusan eksekutif Statut Rom yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April lalu.

Asheeq Ali dan lapan rakannya mempersoalkan mengapa kajian itu dijalankan secara sulit tanpa diketahui oleh masyarakat, selain mendakwa hujah-hujah rumusan itu bersifat berat sebelah kerana hanya mempersoalkan sebab Majlis Raja-Raja perlu menolak perjanjian antarabangsa itu.

Rumusan itu dilakukan oleh Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad dan Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

Selain itu, dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi turut terlibat dalam kajian tersebut.

Bagaimanapun, selang beberapa lama, Nie Ching menarik kembali kenyataan beliau yang mengatakan kementeriannya akan membincangkan kedudukan 4 pensyarah berhubung dokumen kepada raja-raja Melayu mengenai bahaya Statut Rom.

Sebaliknya, kata beliau kenyataannya tersalah lapor kerana dia sebenarnya merujuk kepada kenyataan kumpulan aktivis pelajar yang mendedahkan imej dokumen itu.

Kumpulan pelajar ini juga menggesa Kementerian Pendidikan supaya tidak berkelakuan seperti kerajaan dulu terhadap empat pensyarah berkenaan selepas kenyataan Nie Ching. –MalaysiaGazette