SEREMBAN – Sebanyak 73 laporan polis dibuat dan 15 kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau selepas penamaan calon pada 30 Mac lalu sehingga hari ini.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Deputi Superintendan Ahmad Jamaludin berkata, setakat 9 April ini, polis telah menerima lebih kurang 238 permohonan permit ceramah oleh calon dan parti bertanding.
“Kesemua permit telah diluluskan oleh pihak polis dan sejumlah 73 laporan polis diterima dan 15 kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan melibatkan kempen pilihan raya kecil.
“Bagi 15 kertas siasatan, ia dibuka dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya dan juga pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.
“Daripada 15 kertas siasatan yang dibuka polis, InsyaAllah tiada yang serius berlaku dan semuanya berjalan lancar,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Rantau pagi tadi.
Beliau hadir memantau proses pengundian awal melibatkan 36 anggota polis di balai polis tersebut yang bermula 8 pagi hingga 12 tengahari ini.
Menjelang hari pengundian pada 13 April ini, kata beliau, kira-kira 1,100 anggota dari kontinjen polis Negeri Sembilan ditugaskan untuk mengawal keselamatan.
Ujar beliau, pada hari tersebut semua anggota pasukan keselamatan itu diletakkan di pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi.
SEmentara itu, Ahmad menasihatkan pengundi datang hadir awal ke pusat mengundi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Bagi pihak yang bertanding dan juga penyokong dinasihatkan agar tidak bertindak agresif pada hari tersebut,” katanya.
Seramai 20,926 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRK Rantau pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette