Home Ekonomi Kerajaan perkenal model baharu Felda

Kerajaan perkenal model baharu Felda

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan model baharu yang mana Felda akan menguruskan tanah peneroka melalui sewaan tanah untuk satu tempoh jangka panjang.

Model ini akan menyelesaikan isu peneroka yang berusia dan kurang berkemampuan serta kekurangan generasi baharu untuk menguruskan ladang memandangkan kebanyakan mereka memilih untuk berhijrah ke bandar.

Pengenalan model baharu ini akan membolehkan tanah peneroka diusahakan secara cekap, berskala besar dengan ekonomi bidangan yang juga boleh mengurangkan kos operasi.

Model Felda baharu itu membabitkan Program Pembangunan Peneroka bagi Mendapatkan Hasil Baharu, Pengurusan Ladang melalui Pengukuhan Koperasi, Penggunaan Teknologi Terkini, Memperkukuh Peranan Kepemimpinan Tanah Rancangan, Skim Bantuan Baharu, Penambahbaikan Infrastruktur Sosial dan Fizikal dan Meningkatkan Kualiti Pendidikan dan Jati Diri Generasi Baharu, Memperkukuh Peranan Kepemimpinan Tanah Rancangan, Pelaksanaan Projek Perumahan dan Penyediaan Skim Pewaris Tanah untuk Peralihan Lancar.

Menurut Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda, kejayaan model ini bergantung kepada keupayaan pengagregatan tanah
yang optimum.

Model baharu ini akan memberi keuntungan kepada semua pihak khususnya peneroka, justeru penerangan yang komprehensif perlu diberikan agar peneroka memahami kebaikan menyertai model baharu ini serta potensinya untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi dan konsisten.

Bagaimanapun, peneroka yang mempunyai keupayaan dan kemampuan diberi peluang untuk mengusahakan kebun sendiri, tertakluk kepada kriteria yang telah ditetapkan.

Tetapi Felda menyekat peneroka tersebut untuk menyertai semula program baharu ini.

Melalui Program Pembangunan Peneroka bagi Mendapatkan Hasil Baharu, Felda akan terus memberi fokus utama kepada aktiviti teras di sektor perladangan dan akan menjadi antara pengusaha tanah pertanian terbesar di Malaysia.

Usaha ini turut meningkatkan pengeluaran makanan, menambah eksport dan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

Felda akan mengenal pasti program tanaman gantian dan ternakan yang mampu memberikan hasil tuaian dalam tempoh yang singkat dan berpotensi untuk menjana aliran tunai dengan cepat dan konsisten.

Antara tanaman gantian yang berpotensi ialah seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan kenaf yang akan mengurangkan kebergantungan kepada hasil kelapa sawit dan getah.

Bagi Pengurusan Ladang melalui Pengukuhan Koperasi Felda pula, kaedah pengurusan ladang akan diperbaharui melalui penglibatan aktif koperasi.

Felda akan menyerah aktiviti pengurusan ladang peneroka kepada koperasi untuk dilaksanakan secara berskala besar dan lebih ekonomik.

Melalui model baharu ini, peneroka yang memilih model sewaan tanah jangka panjang akan menerima bayaran sewa tanah serta dividen daripada keuntungan koperasi, sekali gus membolehkan peneroka menikmati pendapatan yang lebih konsisten.

Koperasi peneroka di setiap rancangan Felda termasuk Koperasi Permodalan Felda Berhad akan diperkasa bagi meningkatkan penglibatan peneroka dan generasi baharu dalam pengurusan, pelaburan dan perniagaan yang diusahakan oleh agensi.

Melalui sistem ini, Felda juga akan melahirkan lebih ramai peladang profesional yang dapat menyumbang kepada kemajuan masyarakat tersebut.

Model baharu ini dijangka dapat menangani isu demografi peneroka yang majoritinya berumur 60 tahun dan ke atas, sudah tidak berkeupayaan menguruskan ladang, ditambah dengan beban hutang yang perlu dijelaskan kepada Felda.

Dari aspek Penggunaan Teknologi Terkini, pengunaan teknologi mekanisasi dan automasi akan diperluas bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan ketirisan pengeluaran, selain sistem pemantauan tanaman yang efektif juga akan diwujudkan untuk memantau hasil tuaian.

Melalui penerimagunaan teknologi tersebut, kaedah penanaman dan penuaian akan dapat ditambah baik dan seterusnya meningkatkan hasil tanaman, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dan menarik penyertaan generasi baharu Felda terlibat secara aktif dalam aktiviti perladangan.

Menurut Kertas Putih, Felda akan memperkenalkan skim bantuan baharu yang lebih fleksibel kepada peneroka bagi menggantikan pembiayaan Sara Hidup (SH) dan Pendahuluan Hasil (PDH).

Melalui skim baharu ini, peneroka akan menerima pinjaman berdasarkan kepada keperluan peneroka bagi mengelak
keberhutangan yang tinggi dalam tempoh yang panjang.

Kadar bayaran balik hutang penanaman semula akan ditentukan berdasarkan kepada pendapatan peneroka dan pada
masa yang sama, peneroka yang telah menerima SH dan PDH pada kadar terdahulu diberi pilihan untuk menyertai skim baharu ini.

Menurut kertas itu lagi, kerajaan akan menyediakan pelbagai program dan inisiatif sosioekonomi di
kawasan rancangan Felda termasuk memperbaiki kualiti hidup peneroka menerusi pertambahan infrastruktur sosial dan fizikal dengan kerjasama semua kementerian dan agensi kerajaan.

Felda juga akan meningkatkan usaha untuk mereformasi kawasan tanah rancangan agar berkembang dengan lebih pesat melalui pembentukan bandar baharu bagi memaju dan merangsang aktiviti ekonomi dengan kerjasama serta penglibatan
pihak swasta merangkumi aspek sosiologi, iaitu membentuk komuniti pintar.

Ini akan mewujudkan satu ekosistem holistik dan selesa kepada setiap peneroka supaya mereka mempunyai sumber pendapatan alternatif, selain kampung tradisi di sekitar tanah rancangan akan turut menerima limpahan kemajuan dan mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Felda akan terus memastikan penekanan dalam aspek pendidikan agar generasi baharu termasuk wanita dan belia tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dengan mengiatkan pelaburan modal insan bagi memastikan akses yang saksama kepada pendidikan dan latihan yang berkualiti kepada anak peneroka Felda.

Usaha ini akan dilaksanakan bersama golongan profesional yang terdiri daripada anak peneroka yang telah berjaya agar mereka menjadi mentor dan kembali menyumbang kepada pengukuhan masyarakat Felda.

Skim baharu untuk membantu pendidikan anak peneroka melalui kerjasama dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta akan diperkenalkan dengan memberi tumpuan khusus kepada aspek pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

Bagi memperkukuh peranan kepemimpinan tanah rancangan, peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan diselaraskan.

Antara lain, pelan pembangunan tersebut meliputi aspek pembangunan keusahawanan, pembangunan prasarana serta
pembangunan modal insan dan sahsiah, juga mengambil kira sumber dan potensi luar bandar serta proses pembangunan yang semakin pesat di kawasan berkaitan.

Bagi pelaksanaan projek perumahan, Felda akan menyiapkan projek Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) terbengkalai yang berada pada tahap kemajuan kerja 70 peratus dan ke atas.

Ini akan memberi manfaat kepada seramai 4,794 keluarga generasi baharu untuk memiliki rumah.

Terakhir adalah penyediaan Skim Pewaris Tanah untuk peralihan lancar yang sedang melaksanakan program pengemaskinian data pemilikan tanah peneroka yang akan memuktamadkan maklumat pewarisan.

Usaha ini bertujuan menyelesaikan isu pewarisan.

Sebagai projek rintis, FELDA telah selesai mengemas kini data pemilikan tanah peneroka di FELDA Mempaga 3, Kg. Sertik dan Lurah Bilut dan akan diperluas ke 314 Rancangan FELDA yang lain.

Pelan pewarisan perlu dilakukan segera kerana profil umur peneroka terkini menunjukkan bahawa 88 peratus peneroka
berumur melebihi 56 tahun. – MalaysiaGazette