Home Nasional Kertas siasatan 1MDB siap Mei ini

Kertas siasatan 1MDB siap Mei ini

Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun,

PUTRAJAYA – Kertas siasatan berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) akan siap Mei ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pada masa ini siasatan bagi kes itu berjalan secara intensif.

Katanya, dengan berakhirnya siasatan tersebut nanti, barulah boleh ditentukan kategori bagi kes itu.

“Siasatannya berjalan secara intensif pada ketika ini. Kita ada time line (garis masa) tertentu yang kita jangka. Kalau tak silap Mei akan siap keseluruhan.

“Siasatan sama ada akan dimasukkan ke dalam AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan) atau sebagainya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan tersebut yang menjadi tumpuan seluruh dunia.

Sebelum ini, dalam satu sidang media Mohamad Fuzi berkata, polis mempunyai tempoh sehingga penghujung Mac lalu bagi melengkapkan kertas siasatan skandal berkenaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Malah katanya, polis turut mempunyai masa sehingga 16 Mei 2019 bagi menyimpan barangan yang dirampas dalam beberapa serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Mei tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi menegasakan, polis mempunyai proses-proses tertentu dalam memperlengkap kertas siasatan kes berkenaan. – MalaysiaGazette