Home Politik Kita tak pernah ‘bunuh karakter’ orang – Streram

Kita tak pernah ‘bunuh karakter’ orang – Streram

Calon PH, Dr. S. Streram bercakap pada sidang media selepas sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Sega, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2019.

RANTAU- Pakatan Harapan (PH) tidak mengamalkan kempen bersifat membunuh karakter calon lawan pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Calon PH, Dr. S. Streram berkata, beliau hanya membangkitkan isu sebagai tindak balas kepada apa yang diungkitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Kita sudah 11 hari berkempen adakah kita memulakan sebarang pembunuhan watak atau terlibat sebarang usaha itu selama ini?”  katanya semasa bertemu pengundi di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau terhidu terdapat rancangan pembunuhan karakter dan politik Mohamad.

Streram yang menafikan dakwaan Ahli Parlimen Pekan itu berkata: “Dia (Tok Mad) kata dia hantar jutaan wang ke London untuk membeli apartmen dan kita hanya mempersoalkan sumber pendapatan dan cara dia memindahkan wang ke luar negara dan begitu juga dengan isu rumah minangkabau di Seremban 2 yang mana Tok Mad perlu menjelaskan segera. – MalaysiaGazette