Home Nasional Nahas bas: polis siasat dakwaan berlumba

Nahas bas: polis siasat dakwaan berlumba

PUTRAJAYA – Polis sedang menyiasat dakwaan bas pekerja yang terjunam ke dalam longkang berhampiran Kompleks MASkargo di Sepang pada Ahad lepas berlumba, kata Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ACP Zulkifli Adamshah.

Menurutnya, seorang daripada 14 mangsa yang sudah memberikan keterangan kepada polis berhubung kemalangan yang meragut 12 nyawa itu mendakwa bas berkenaan berlumba dengan sebuah lagi bas.

“Namun, rakaman kamera litar tertutup yang diperoleh polis setakat ini kurang jelas dan polis perlu mencari bukti lain.

“Jadi setakat ini dakwaan itu hanya khabar angin sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini berhubung perkembangan kes berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 11.10 malam Ahad, seorang pemandu bas warga tempatan dan lapan pekerja warga asing mati di tempat kejadian apabila bas yang membawa 44 orang termasuk pemandu terjunam sedalam empat meter ke dalam longkang besar berhampiran Kompleks MASkargo. Dua lagi pekerja warga asing meninggal dunia di Hospital Putrajaya dan seorang lagi di Hospital Serdang.

Pekerja-pekerja yang terlibat dalam kemalangan itu bernaung di bawah syarikat pembekal tenaga kerja, Mutiara Kayamas Sdn Bhd.

Zulkifli berkata, siasatan setakat ini mendapati bas pekerja berkenaan dipandu dengan laju dan tidak ada kesan brek di lokasi kemalangan.

Beliau berkata polis akan mendapatkan bantuan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi memeriksa sama ada brek bas pekerja berkenaan rosak atau pemandu tidak sempat menekan brek.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata polis akan menyambung mengambil keterangan daripada mangsa yang terselamat hari ini.

Sehingga semalam (Selasa), 14 mangsa sudah memberikan keterangan.

Enam mangsa memberikan keterangan pada Isnin, dua daripadanya memberikan keterangan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan empat lagi diambil keterangan di hospital.

Lapan mangsa memberikan keterangan di Cawangan Trafik IPD KLIA semalam (Selasa). – MalaysiaGazette