KUALA LUMPUR – Tindakan sesetengah pemimpin kerajaan yang menuding jari menyalahkan Ahli Parlimen pembangkang ekoran kegagalan pindaan Perlembagaan Artikel 1 (2) semalam adalah tidak tepat.
Ini kerana, pembangkang yang terdiri daripada pemimpin Semenanjung, Sabah dan Sarawak sentiasa komited memperjuangkan aspirasi rakyat di dua negeri itu.
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebaliknya Ahli-ahli Parlimen pembangkang Sabah dan Sarawak hanya mahu ia dibuat secara teliti dan bersungguh-sungguh, bukan sekadar ‘kosmetik’ semata-mata.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mendakwa bacaan kali pertama dan kali kedua pindaan Perlembagaan Artikel 1(2) mempunyai kandungan berbeza.
Bacaan kali pertama dibaca oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, VK Lee dan kali kedua oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selepas bacaan kali pertama, ahli-ahli parlimen di blok pembangkang terutamanya dalam kalangan Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah berasa hampa dan menolaknya.
Antara dua perkara utama yang dibangkitkan ialah Jawatankuasa Khas Pemilihan dan Dibawa ke DUN Sabah dan Sarawak.
Jelas sekali katanya, ianya dibuat secara terburu-buru tanpa mengambil kira pandangan menyeluruh dan terperinci.
“Kita tidak mahu apa yang diputuskan hari ini akan menyebabkan berlakunya “pusingan U” dalam tempoh beberapa bulan kemudian.
“Kerajaan PH sudah pun memiliki rekod buruk berhubung pusingan U ini. Lihat saja apa yang berlaku dalam isu ICERD dan Statut Rom,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Selepas bacaan kali kedua dan ucapan penggulungan oleh perdana menteri, blok pembangkang mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk memperhalusi aspirasi semua rakyat sama ada dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta membentangkan laporannya kepada Parlimen, seterusnya ianya boleh diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat.
Tetapi malangnya cadangan menubuhkan Jawatankuasa Pemilih ditolak dengan undi belah-bahagi 60 vs 136.
Selepas usul tersebut ditolak, barulah pengundian memutuskan pindaan Perlembagaan.
Katanya, semalam PH gagal mendapatkan 148 undi menyokong yang diperlukan.
“Blok pembangkang bukannya tak sokong tetapi memilih tidak mengundi kerana hasrat akhirnya ialah meminda Perlembagaan tetapi kandungan pindaan yang dicadangkan oleh PH adalah tidak memadai.
Strategi politik
Selain itu, kegagalan kerajaan mendapatkan undi majoriti 2 per tiga semalam dilihat sebagai satu percaturan politik Dr Mahathir.
Dr Mahathir mahu memberikan mesej kepada pemimpin PH bahawa tindakan beliau mengutip ahli Parlimen yang melompat menyertai parti pemerintah adalah tindakan tepat dan perlu diteruskan.
Apa pun, katanya, Dr Mahathir dan rakan-rakan sekutunya di dalam PH telah berjaya memberi gambaran kepada rakyat Sabah dan Sarawak kononnya mereka telah menunaikan janji dalam Buku Harapan
“Tetapi, marilah kita merenung sejenak kandungan RUU Pindaan Perlembagaan Artikel 1(2) bacaan kali pertama yang ditolak dengan suara lantang pada minggu lalu setelah VK Liew membentangkannya.
“Selepas bantahan pembangkang, barulah PH membuat pindaan. Sebab itulah bacaan kali kedua oleh Tun Mahathir mempunyai kandungan yang jauh berbeza setelah dikritik hebat oleh blok pembangkang.
“Persoalannya, ini adalah pindaan Perlembagaan, bukan perkara main-main. Mana boleh dibuat secara sambil lewa?
“Sepatutnya bacaan kali pertama ditarik balik dan memutuskan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
“Kemudian, kemukakan semula pindaan Perlembagaan yang lengkap untuk bacaan semula di Dewan Rakyat. Tak perlu terburu-buru, kerana apa yang paling penting ialah kepentingan semua diambil kira.
“Harap PH janganlah ubah naratif semata-mata demi “political mileage”!,” ujarnya. – MalaysiaGazette