Home Nasional Pemilikan pesawat Rondaan Maritim tidak dibatal, hanya tangguh

Pemilikan pesawat Rondaan Maritim tidak dibatal, hanya tangguh

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa perolehan Pesawat Rondaan Maritim (MPA) tidak dibatalkan, sebaliknya pelaksanaan program itu hanya ditangguhkan pada tahun lepas.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, program rondaan keselamatan di pesisir pantai negara itu kini mempunyai keperluan mendesak dan ia akan dilaksanakan selepas mendapat peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

“Kita sedang dalam proses perolehan untuk kita dapatkan kerana ianya perlu dan kita telah bincang dengan Kementerian Kewangan dan mereka nampak benda ini perlu diadakan pesawat peronda, ia tak batal, cuma ditangguhkan.

“Masih dalam perbincangan, nilai projek belum kita putuskan secara muktamad,” katanya pada sidang media dalam siri lawatan kerjanya di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, hari ini.

Mohamad Sabu
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (tengah) memeriksa kawalan kehormat dalam sesi lawatan kerjanya di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Turut mengiringi dalam lawatan kerja itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Brigedier Jeneral Dr Md Amin Muslan.

Pada 13 Disember lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong ketika persidangan Dewan Negara mengakui bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) amat memerlukan MPA berspektrum penuh sejajar dengan perkembangan geostrategik serantau dan kepentingan ekonomi negara.

Chin Tong berkata, pada masa ini, operasi pemantauan di kawasan Laut China Selatan dilaksanakan oleh pesawat TUDM daripada jenis Beechcraft B200T.

Mohamad juga tidak menolak kemungkinan Kementerian Pertahanan akan membuat perolehan bagi mendapatkan pesawat baharu berdasarkan kepada keperluan keselamatan semasa.

“Banyak negara yang menawarkan dan berminat sekarang ini dan dalam LIMA hari itu pemain industri pertahanan menawarkan dan kitalah yang akan menimbangkan,” katanya. – MalaysiaGazette