![Majlis serah cek pendahuluan](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2019/04/WhatsApp-Image-2019-04-10-at-16.38.49-640x938.jpeg)
SENDAYAN – Hari ini sepatutnya berlangsung satu majlis penyerahan cek pendahuluan sempena Aidilfitri di sebuah kelab di Bandar Sri Sendayan di bawah DUN Rantau.
Difahamkan, program tersebut akan dihadiri exco kerajaan Negeri Sembilan sebagai tetamu jemputan untuk menyampaikan cek sumbangan itu.
Menurut salah seorang sumber ditemui MalaysiaGazette yang enggan dinamakan, program yang sepatutnya dihadiri lebih 100 orang itu dibatalkan kerana dibantah oleh penyokong UMNO.
Katanya, bantahan itu juga berkait rapat dengan PRK DUN Rantau Sabtu ini kerana mengandungi elemen meraih undi.
“UMNO buat report polis, jadi tangguh kepada hari isnin, selepas pilihanr aya,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, pihak penganjur majlis tidak membenarkan media membuat liputan sambil memberitahu program itu pada awalnya dibuat secara tertutup.
“Kami minta maaf, program hari ini tidak dibenarkan pihak media membuat liputan, program ini sepatutnya diadakan secara tertutup, tetapi kami tidak tahu macam mana ia boleh tersebar.
“Program ini dibatalkan, berkemungkinan berkait rapat dengan PRK (Pilihan Raya Kecil Rantau), tapi sebab utama saya memang tidak tahu,” kata individu terbabit.
Difahamkan, exco terbabit membatalkan kehadirannya ke program terbabit. -MalaysiaGazette