Home Politik ‘All the best’ Bersatu di Sabah

‘All the best’ Bersatu di Sabah

Mohamad Hasan
Datuk Seri Mohamad Hasan. foto FAREEZ FADZIL, 11 APRIL 2019

RANTAU – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO menghadapi kesukaran untuk terus bertapak di Sabah kerana sentimen parti luar.

Oleh itu, Mohamad mengucapkan selamat maju jaya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini melebarkan sayap ke negeri di bawah bayu itu.

“Saya ucapkan Bersatu ‘all the best’ sebab mereka lebarkan sayap di luar tanah Melayu. Pergi ke Sabah dan Sarawak.

“Saya tidak rasa Sabah dan Sarawak akan terima Bersatu. Itu bukan masalah saya.

“Saya cuba nak bagi kenyataan saja. Bukan nak menghina tapi itulah hakikat,” katanya dalam sidang media harian di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.

Mohamad merupakan calon BN bagi PRK Rantau.

Bersatu bertapak di Sabah pada 6 April lalu dengan dirasmikan oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad di Penampang.

Ujar Mohamad, situasi politik di Semenanjung jauh berbeza dengan apa yang dipraktikkan di Malaysia Timur.

Katanya, sentimen penolakan parti luar amat kuat di Sabah dan ia turut memberikan kesan kepada UMNO.

“Situasi di Sabah, mereka tidak suka parti daripada Semenanjung.

“Mereka lebih suka daripada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Oleh yang demikan menurut Mohamad, UMNO Pusat dalam perancangan untuk memberikan kuasa penuh kepada UMNO Sabah untuk mentadbir parti itu sendiri.

“Sabah dalam jangka masa panjang tidak sesuai untuk UMNO diurus daripada ibu pejabat. Itu sebab kita nak beri kuasa penuh kepada UMNO Sabah untuk diurus.

“Sentimen Sabah untuk Sabah, dan Sarawak untuk Sarawak itu perlu kita lihat,” katanya.

UMNO Sabah sebelum ini dihambat kontroversi selepas Barisan Nasional (BN) kalau teruk dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Mei lalu.

Justeru itu pada Disember tahun lalu, UMNO hampir lumpuh apabila 13 ahli dan pemimpin kanannya di Sabah bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas kerana tidak yakin dengan hala tuju parti itu di negeri ini.

Ahli Parlimen terlibat ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

Sementara itu, selain Hajiji, ADUN lain ialah Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh(Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).

Pada 15 Mac lepas, lapan bekas pemimpin UMNO Sabah termasuk enam wakil rakyat menyertai Bersatu dan menerima kad keahlian mereka daripada Dr Mahathir di Putrajaya.

Enam wakil rakyat bebas berkenaan ialah Anggota Parlimen Kudat Datuk Abd Rahim Bakri, Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Hajiji Noor (Anggota Dewan Undangan Negeri Sulaman (ADUN) dan Datuk Masidi Manjun (Karanaan).

Selain mereka, turut menyertai Bersatu ialah dua lagi Senator iaitu Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose. – MalaysiaGazette